WASHINGTON: Kematian aktivis politik konservatif terkenal, Charlie Kirk dianggap sebagai satu tragedi besar bagi Amerika Syarikat (AS), menurut bekas penasihat kempen Donald Trump, David Urban.
“Ia bukan sekadar kehilangan untuk Republikan atau gerakan MAGA, tetapi satu tragedi buat seluruh Amerika,” katanya dalam satu wawancara bersama CNN.
Urban, yang telah mengenali Kirk sejak kempen presiden Trump pada tahun 2016, menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin muda yang berjiwa patriotik dan mewakili semangat anak muda Amerika.
“Charlie sentiasa berusaha untuk menyentuh hati dan minda rakyat. Beliau seorang yang berpengaruh dan mempunyai semangat juang tinggi. Kehilangannya pada usia yang begitu muda amat memilukan,” ujar Urban lagi.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga Kirk yang kini menanggung kesedihan besar.
“Anak-anaknya kehilangan seorang bapa, isterinya pula kini bergelar balu. Ia amat menyayat hati,” katanya.
Urban menegaskan insiden tragik ini seharusnya membuka mata seluruh rakyat Amerika, tanpa mengira latar belakang politik.
“Sama ada anda menyokong Charlie atau tidak, atau sama ada anda menyukai Presiden atau sebaliknya, semua pihak perlu sedar bahawa keganasan seperti ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” tegasnya.
Presiden AS, Donald Trump, turut mengumumkan kematian Kirk menerusi satu hantaran di platform Truth Social.
“Charlie Kirk adalah seorang tokoh luar biasa, malah legenda. Tiada siapa yang lebih memahami serta dekat dengan hati generasi muda di Amerika seperti beliau,” tulis Trump.
“Beliau disayangi dan dikagumi ramai, termasuk saya sendiri. Kini, beliau telah tiada. Saya dan Melania merakamkan ucapan takziah kepada isterinya, Erika, serta seluruh keluarga. Charlie, kami akan merindui kamu,” tambahnya.
Kirk, yang berusia dalam lingkungan 30-an, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama organisasi belia konservatif Turning Point USA.
Beliau dilaporkan meninggal dunia selepas ditembak ketika berucap dalam satu acara debat di Utah Valley University.
Rakaman yang tular menunjukkan beliau rebah selepas terkena tembakan di leher, menyebabkan suasana panik dalam kalangan hadirin.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa seorang suspek telah ditahan berhubung kejadian itu.
Turning Point USA, yang diasaskan Kirk pada 2012, kini menjadi antara organisasi konservatif paling berpengaruh di Amerika, khususnya di institusi pengajian tinggi. Beliau dikenali dengan retorik lantangnya, kerap muncul di media, dan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Trump.
Kematian Kirk berlaku dalam suasana negara itu sedang berdepan peningkatan insiden keganasan politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk cubaan pembunuhan terhadap Trump semasa berkempen tahun lalu. – Agensi










