ISTANBUL: Israel dilaporkan membelanjakan lebih AS$50 juta (RM209 juta) bagi menjalankan kempen iklan digital melalui platform antarabangsa termasuk Google, laman media sosial Amerika Syarikat (AS) X, serta platform iklan Perancis dan Israel, dalam usaha menafikan berlakunya kebuluran di Gaza.
Perkara itu didedahkan penyiar Sepanyol, RTVE pada Selasa berdasarkan laporan Eurovision News Spotlight.
Siasatan bersama Eurovision mendapati Jawatankuasa Pengecualian Israel pada Jun lalu meluluskan permohonan agensi iklan milik kerajaan, Lapam, untuk melaksanakan kempen maklumat awam bernilai AS$50 juta (RM209 juta) dengan Google, X, serta platform Outbrain dan Teads.
Kontrak yang berjalan dari 17 Jun hingga 31 Disember itu memperuntukkan AS$45 juta (RM188.5 juta) untuk YouTube dan pengurusan iklan Google, Display & Video 360.
Laman X pula menerima AS$3.03 juta (RM12.69 juta) manakala Outbrain dan Teads memperoleh AS$2.12 juta (RM8.88 juta).
Laporan bertajuk ‘The New Front of War: Inside Israel’s Digital ‘Hasbara’ Offensive’ itu mendedahkan bagaimana kempen tajaan kerajaan Israel menggunakan media sosial, pengaruh berbayar serta lawatan tentera bagi membentuk naratif global mengenai Gaza.
Dokumen antara 2018 hingga Julai 2025 menunjukkan Lapam memanfaatkan platform iklan Google dan Meta untuk menyebarkan naratif pentadbiran Israel, termasuk menangkis kritikan terhadap dasar serta operasi ketenteraan Tel Aviv melalui kempen berbayar.
Menurut Google Ads Transparency Center, Lapam menaja 2,000 iklan pada tahun lalu dengan 900 daripadanya disasarkan kepada penonton tempatan, manakala 1,100 lagi ditujukan kepada penonton antarabangsa di beberapa negara terpilih.
Antara 1 Januari hingga 5 September 2025 sahaja, lebih 4,000 iklan dijalankan oleh agensi itu, dengan separuh daripadanya menyasarkan khalayak antarabangsa.
Israel khususnya menggunakan kempen ini untuk menafikan kebuluran di Gaza dengan memaparkan imej pasar yang sibuk kononnya bagi menggambarkan keadaan normal di wilayah terkepung itu, bertentangan dengan pengisytiharan kebuluran oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).
Siasatan itu turut menemui kempen lain yang disokong Lapam, menyeru orang ramai mengesan kelemahan dan percanggahan dalam laporan kebuluran yang diterbitkan IPC.











