Hampir 900 ditahan sertai demonstrasi sokong Palestine Action di London - Utusan Malaysia

Hampir 900 ditahan sertai demonstrasi sokong Palestine Action di London

PENDUDUK London berhimpun dan berarak sebagai tanda solidariti buat Palestin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Polis Britain menahan hampir 900 orang dalam satu demonstrasi besar di pusat bandar London bagi menyokong kumpulan pro-Palestin, Palestine Action, yang diharamkan kerajaan.

Menurut Polis Metropolitan, seramai 890 orang ditahan dalam tunjuk perasaan berhampiran bangunan Parlimen pada Sabtu lalu, jumlah tahanan tertinggi pernah dicatatkan dalam satu protes berkaitan kumpulan itu.

Daripada jumlah itu, 857 individu ditahan kerana menunjukkan sokongan terhadap pertubuhan diharamkan, manakala 17 lagi ditangkap kerana menyerang anggota polis selepas perhimpunan bertukar ganas.

“Bukti yang kita peroleh menunjukkan keganasan semalam dilakukan secara terancang oleh sekumpulan individu yang berniat mencetuskan huru-hara,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis, Claire Smart.

Palestine Action diharamkan Julai lalu di bawah undang-undang antikeganasan selepas beberapa ahlinya menceroboh pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) dan merosakkan pesawat, selain terlibat dalam vandalisme ke atas syarikat pertahanan yang mempunyai hubungan dengan Israel.

Langkah pengharaman itu meletakkan kumpulan tersebut sebaris dengan al-Qaeda dan Daesh, sekali gus menjadikan sebarang sokongan terhadapnya sebagai jenayah yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun.

Namun, penganjur demonstrasi yang dikenali sebagai Defend Our Juries berkata antara mereka yang ditahan termasuklah paderi, veteran tentera, petugas kesihatan serta golongan warga emas dan orang kurang upaya.

“Bantahan besar-besaran ini akan diteruskan selagi larangan tidak ditarik balik,” kata jurucakap kumpulan itu.

Tindakan kerajaan turut menerima kritikan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai tidak seimbang serta mengekang kebebasan bersuara.

Difahamkan, kebanyakan individu yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin polis, namun belum jelas berapa ramai masih ditahan selepas insiden terbaharu itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN