NEW YORK: Presiden Perancis Emmanuel Macron secara rasmi mengumumkan pengiktirafan negara Palestin semasa pembukaan sidang kemuncak khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjelang Sidang Agung Tahunan yang bakal menghimpunkan lebih 140 pemimpin dunia.
Pengumuman bersejarah itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh delegasi antarabangsa. Presiden Palestin Mahmoud Abbas turut hadir secara maya, setelah dihalang hadir secara fizikal oleh Washington.
“Setia kepada komitmen sejarah negara saya terhadap keamanan di Asia Barat, saya mengisytiharkan bahawa hari ini, Perancis mengiktiraf negara Palestin,” ujar Macron di hadapan para pemimpin dunia.
Langkah Perancis ini menyusul selepas Britain, Kanada, Australia dan Portugal turut mengiktiraf Palestin sehari sebelumnya, mencetuskan gelombang sokongan baharu terhadap penyelesaian dua negara, satu usaha yang telah lama terbantut sejak 2014.
Delegasi Palestin, termasuk Duta Besar ke PBB Riyad Mansour, berdiri dan bertepuk tangan sebagai tanda penghargaan terhadap keputusan Macron. Presiden Mahmoud Abbas juga kelihatan bertepuk tangan melalui siaran langsung khas yang dibenarkan PBB.
Namun, tidak semua negara bersetuju. Israel dan Amerika Syarikat (AS) memboikot sidang khas tersebut, dengan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai tindakan yang “mengganjar keganasan” dan boleh menggugat kestabilan serantau.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak sekeras-kerasnya kemungkinan penubuhan negara Palestin, malah memberi bayangan akan meningkatkan kawalan ke atas wilayah Asia Barat sebagai tindak balas.
Walaupun pengiktirafan ini bersifat simbolik dan tidak membawa perubahan serta-merta di lapangan, ia dilihat sebagai satu langkah penting untuk menghidupkan semula rundingan damai yang terhenti lebih sedekad.
Setakat ini, sekitar tiga per empat daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang sah.
Presiden Macron bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, dijangka memimpin perbincangan lanjut berkenaan pelan damai, termasuk cadangan gencatan senjata dan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.










