EU cadang gantung perjanjian perdagangan dengan Israel, sekatan ke atas pegawai

EU cadang gantung perjanjian perdagangan dengan Israel, sekatan ke atas pegawai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan rancangan untuk menurunkan taraf hubungan perdagangan dengan Israel serta mengenakan sekatan terhadap pegawai kanan negara itu, selepas dapatan pelanggaran hak asasi manusia di Gaza.

Langkah ini dilihat sebagai perubahan besar dalam pendekatan blok itu terhadap Tel Aviv.

Ketua diplomat EU, Kaja Kallas berkata, semua negara anggota bersetuju keadaan di Gaza kini tidak tertanggung, sambil memberi amaran tentang perkembangan berbahaya di Tebing Barat yang boleh menjejaskan kelangsungan penyelesaian dua negara.

“Saya ingin jelaskan tujuan langkah baharu ini bukan untuk menghukum Israel. Tujuannya adalah untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza,” kata Kallas selepas mesyuarat Suruhanjaya Eropah (EC).

Beliau turut mengkritik serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza City yang disifatkan sebagai satu lagi peningkatan konflik yang hanya akan memburukkan krisis kemanusiaan.

“Perang ini perlu dihentikan. Penderitaan mesti berakhir, dan semua tebusan perlu dibebaskan. Kita mesti menggunakan semua instrumen yang ada untuk mencapai matlamat ini. Kita juga tidak boleh mengabaikan perkembangan berbahaya di Tebing Barat yang mengurangkan kelangsungan penyelesaian dua negara,” tambahnya.

Menurut Kallas, pendapat awam di negara anggota EU kini semakin mendesak agar tindakan diambil untuk menghentikan penderitaan di Gaza.

“Pendapat awam semakin berubah kerana penderitaan di Gaza dapat dilihat dengan jelas, dan masyarakat mahu ia dihentikan di peringkat politik,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Eropah bagi Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi, Maros Sefcovic menjelaskan, cadangan tersebut menyasarkan peruntukan utama dalam Perjanjian Euro-Mediterranean, termasuk pergerakan bebas barangan dan perkhidmatan, perolehan awam, persaingan, dan harta intelek.

“Secara praktikal, ini bermakna barangan import dari Israel ke EU akan kehilangan akses pasaran secara keutamaan, dan barangan ini akan dikenakan tarif seperti mana-mana negara ketiga lain yang tiada perjanjian perdagangan bebas dengan EU,” katanya dalam sidang media di Brussels.

Menurut beliau, EU kekal sebagai rakan dagang terbesar Israel dengan jumlah perdagangan barangan pada 2024 mencecah 42.6 bilion euro (RM 211 bilion), hampir satu pertiga daripada keseluruhan perdagangan Israel.

“Melihat kepada angka ini dan prinsip yang terlibat, penggantungan separa ini adalah tindak balas yang dipertimbangkan secara teliti terhadap situasi yang semakin mendesak,” jelas Sefcovic lagi.

Majlis EU dijangka membuat keputusan mengenai cadangan langkah perdagangan tersebut melalui majoriti berkelayakan.

Selain itu, suruhanjaya turut mengumumkan sekatan terhadap kumpulan Hamas, menteri Kabinet Israel berfahaman ekstremis, serta peneroka ganas. Namun, untuk dilaksanakan, keputusan ini memerlukan persetujuan sebulat suara Majlis EU.

Pesuruhjaya Eropah untuk Mediterranean, Dubravka Suica, berkata, EU juga menggantung sokongan dua hala kepada kerajaan Israel bernilai sekitar 14 juta euro (RM69.36 juta) yang diperuntukkan bagi 2020–2024. .

“Keadaan di Gaza dan Tebing Barat tidak dapat diterima. Suruhanjaya terus memperjuangkan penyelesaian dua negara, yang berasaskan sebuah Israel yang selamat dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berdaya maju,” katanya sambil menambah penggantungan dana boleh ditarik balik sekiranya keadaan di lapangan bertambah baik.

Namun begitu, EU menegaskan sokongan untuk memerangi antisemitisme dan memperkukuh kehidupan masyarakat Yahudi tidak akan terjejas, termasuk dana untuk inisiatif masyarakat sivil.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, dalam kenyataannya menegaskan cadangan baharu itu menggambarkan prinsip asas EU.

“Memandangkan perkembangan serius di Tebing Barat, kami mencadangkan penggantungan konsesi perdagangan dengan Israel, mengenakan sekatan terhadap menteri ekstremis dan peneroka ganas, serta menggantung sokongan dua hala kepada kerajaan Israel, tanpa menjejaskan kerja kami dengan masyarakat sivil Israel atau Yad Vashem.

“Peristiwa mengerikan yang berlaku setiap hari di Gaza mesti dihentikan,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×