Dakwa lancar serangan dron, Global Sumud Flotilla akan heret Israel ke ICC - Utusan Malaysia

Dakwa lancar serangan dron, Global Sumud Flotilla akan heret Israel ke ICC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Flotila Global Sumud pada Rabu mengumumkan pasukan perundangannya akan memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berikutan siri serangan dron berulang terhadap kapal-kapal bantuan yang menuju ke Semenanjung Gaza, lapor Anadolu.

Abdelhaq Benqadi, peguam Maghribi yang mewakili Kesatuan Peguam Arab dalam misi itu berkata, pasukannya giat mengumpul bukti jenayah perang di laut, termasuk jenis dan jumlah dron, gangguan elektronik, peluru yang digunakan serta kerosakan yang berlaku sebelum laporan lengkap akan diserahkan ke The Hague.

Penganjur terdahulu melaporkan 12 letupan mengenai sembilan kapal di perairan antarabangsa selepas flotila itu berulang kali disasarkan dron.

Walaupun kumpulan itu tidak menamakan pihak bertanggungjawab, Israel yang sebelum ini mengancam akan menghalang misi berkenaan daripada memasuki Gaza masih belum mengulas.

“Ini adalah jenayah perang sepenuhnya, dan ICC mesti bertindak,” tulis Benqadi di laman Facebook.

Israel sebelum ini pernah memintas kapal bantuan ke Gaza, merampas kapal dan mengusir aktivis, tindakan yang banyak dikecam sebagai lanun laut.

Kes terbaharu ini menambah tekanan undang-undang terhadap Israel ketika Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sedang mendengar kes genosid yang dibawa Afrika Selatan berhubung serangan di Gaza, yang setakat ini meragut lebih 65,400 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak Oktober 2023.

Pada November 2024, ICC turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Flotila kali ini membawa bantuan kemanusiaan termasuk bekalan perubatan dan merupakan antara yang terbesar pernah berlayar ke Gaza, dengan hampir 50 kapal berusaha memecah sekatan 18 tahun Israel terhadap 2.4 juta penduduk enklaf itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×