ROM: Kanak-kanak di seluruh Itali kembali ke bilik darjah selepas cuti musim panas selama tiga bulan, namun para guru mengadu perubahan iklim menjadikan keadaan terlalu panas untuk belajar dengan selamat dan menggesa agar sesi persekolahan ditangguhkan.
Lebih separuh sekolah di Itali dibina antara 1950 dan 1992, kebanyakannya tidak cekap tenaga dengan hanya enam peratus mempunyai penghawa dingin.
Seorang pentadbir sekolah di Palermo, Antonino Rinaldo berkata, haba panas juga berisiko kepada guru, di mana 55 peratus daripada mereka berusia 50 tahun ke atas.
“Cahaya matahari yang memancar ke dalam bilik darjah kecil mewujudkan kesan rumah hijau, sekali gus mencipta suhu panas yang sukar ditahan
“Jika terlalu panas, selain membahayakan kesihatan pelajar, kami juga tidak dapat menjamin kualiti pendidikan kerana pelajar tidak mampu menumpukan perhatian,” katanya.
Menurut Ketua Kesatuan Guru (ANIEF), Marcello Pacifico, kepanasan melampau pada bulan Mei dan Jun juga menimbulkan cabaran besar, khususnya bagi pelajar yang menduduki peperiksaan akhir tahun.
“Kita tidak boleh terus berpegang pada kalendar sekolah 50 tahun lalu sedangkan iklim sudah berubah. Kita perlu berfikir secara serius, bukan sahaja di Itali tetapi juga di Eropah, kerana perubahan iklim bukan hanya berlaku di Itali,” katanya.
Seorang guru sekolah menengah di Frattamaggiore berhampiran Naples, Nunzia Capasso memberitahu, haba panas lebih mencabar bagi remaja yang turut bergelut dengan perubahan hormon.
“Jika bilik darjah panas seperti krematorium dan segalanya rosak, memang mudah untuk mencadangkan supaya sekolah ditangguhkan,” katanya.
Ketika ini Itali mempunyai cuti musim panas terpanjang di Eropah dan para aktivis serta golongan ibu bapa membantah sesi persekolahan ditunda lagi kerana boleh memberi kesan buruk kepada kanak-kanak daripada keluarga bekerja yang tidak mampu menghantar anak ke kem musim panas atau percutian bermanfaat.-AFP










