Bank susu selamatkan ribuan bayi pramatang di Kenya

Bank susu selamatkan ribuan bayi pramatang di Kenya

SEORANG jururawat menunjukkan stok susu ibu sumbangan di dalam peti sejuk beku di bank susu ibu Hospital Bersalin Pumwani, Nairobi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI: Di sebalik deretan inkubator di Hospital Bersalin Pumwani, bayi pramatang berusia empat hari, Grace-Ella, diselamatkan dengan susu ibu sumbangan daripada bank susu pertama dan satu-satunya di Kenya.

Kemudahan yang diwujudkan pada 2019 dengan sokongan dana bantuan Kerajaan Britain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) PATH itu menjadi penyelamat kepada ribuan bayi pramatang di negara berkenaan. 

Dianggarkan kira-kira 134,000 bayi dilahirkan tidak cukup bulan setiap tahun di Kenya, dengan ramai ibu gagal menghasilkan susu badan secukupnya.

Menurut ibunya, Margaret Adhiambo, 28, dia pada mulanya merasa bersalah tidak dapat menyusukan bayinya sendiri namun lega kerana anaknya tidak dibiarkan kelaparan.

Pakar perubatan hospital berkenaan, Dr. Muthoni Ogola menjelaskan, bayi yang menerima susu ibu membesar lebih cepat berbanding yang diberi susu formula.

Malah, susu ibu diketahui turut membekalkan antibodi penting yang mampu mengurangkan risiko jangkitan.

Proses pendermaan juga dikawal rapi termasuk kaunseling, ujian penyakit seperti HIV dan hepatitis, serta pemprosesan susu melalui pasteurisasi sebelum disimpan sehingga setahun.

Seorang penderma, Esther Wanjiru, 22, mengakui berasa gembira kerana dapat membantu bayi lain. 

“Ia rasa seperti satu urutan dan yang penting dapat membantu,” katanya dengan senyuman.

Namun, kekangan peralatan mahal menjadi cabaran utama. 

Menurut Ketua Eksekutif Hospital Pumwani, Christine Kiteshuo, kebanyakan mesin hanya boleh didapati di Eropah atau Amerika Syarikat (AS), menyebabkan pihak hospital sukar memperluas perkhidmatan ke komuniti setempat, khususnya di kawasan setinggan yang tidak mempunyai peti sejuk atau bekalan air bersih.

“Buat masa ini kami hanya mampu menampung keperluan bayi di wad dan dua hospital lain yang menerima sumbangan terhad,” ujarnya. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN