LIMA: Sekurang-kurangnya 900 pelancong dilaporkan terkandas berhampiran kota purba Inca, Machu Picchu, selepas perkhidmatan kereta api penumpang dihentikan berikutan protes penduduk tempatan.
Menurut Menteri Pelancongan Peru, Desilu Leon, seramai 1,400 pelancong berjaya dipindahkan pada Isnin lalu.
Namun sebanyak 900 orang masih terperangkap di Aguas Calientes, bandar terdekat dengan lokasi bersejarah yang juga menjadi tarikan utama negara itu.
Menurut operator kereta api PeruRail, perkhidmatan itu digantung sejak Isnin lalu selepas laluan di wilayah pergunungan Cusco terpaksa ditutup ketika penduduk setempat bertembung dengan pihak berkuasa dan syarikat bas.
Protes tercetus susulan tamatnya konsesi syarikat bas pelancongan, Consettur, yang selama ini mengendalikan pengangkutan dari bandar Aguas Calientes ke pintu masuk tapak peninggalan abad ke-15 itu.
Selepas konsesi tamat, sebuah syarikat bas lain dilantik oleh daerah bersebelahan untuk menggantikan Consettur.
Tetapi, penduduk Aguas Calientes bertindak menghalang syarikat tersebut daripada beroperasi.
Sementara itu, PeruRail memaklumkan, sebahagian landasan turut digali oleh pihak ketiga, sekali gus menjejaskan kestabilan laluan kereta api serta memperlahankan operasi pemindahan pelancong.
Dalam pada itu, kumpulan kempen New7Wonders yang mengangkat tapak warisan budaya dunia memberi amaran kredibiliti Machu Picchu sebagai salah satu Keajaiban Dunia baharu boleh terjejas sekiranya konflik berterusan.
Machu Picchu telah dipilih menerusi undian global anjuran New7Wonders pada 2007, bersama Tembok Besar China, Taj Mahal di India dan Chichen Itza di Mexico. –AGENSI










