JOHANNESBURG: Sebanyak 16 negara mengeluarkan kenyataan bersama menuntut perlindungan terhadap Global Sumud Flotilla, armada bot membawa aktivis dan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang dikepung Israel.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Kementerian Luar Afrika Selatan.
Ia menyatakan, misi flotila tersebut yang menghantar bantuan serta bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keperluan mendesak kemanusiaan di Gaza adalah sejajar dengan komitmen kerajaan-kerajaan terbabit terhadap keamanan dan penghormatan kepada undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Oleh itu, kami menyeru semua pihak supaya tidak melakukan sebarang tindakan haram atau keganasan terhadap flotila ini, dan supaya menghormati undang-undang antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Ia turut memberi amaran sebarang serangan terhadap kapal-kapal di perairan antarabangsa, atau penahanan haram terhadap peserta, akan mencetuskan tindakan akauntabiliti.
Kenyataan itu ditandatangani oleh menteri luar dari Malaysia, Turkiye, Qatar, Bangladesh, Brazil, Colombia, Indonesia, Ireland, Libya, Maldives, Mexico, Pakistan, Oman, Slovenia, Afrika Selatan dan Sepanyol.
Global Sumud Flotilla berlepas dari Barcelona, Sepanyol pada akhir Ogos, diikuti kumpulan kapal lain dari Genoa, Itali pada 1 September.
Menjelang 7 September, kapal dari Sepanyol dan Itali tiba di pantai Tunisia untuk bersiap menuju Gaza bagi mencabar sekatan Israel dan membuka koridor kemanusiaan.
Sehingga malam Ahad, sebanyak 16 kapal berlepas dari pelabuhan Tunisia di Gammarth, Bizerte dan Sidi Bou Said, menurut aktivis flotila.
Kapal-kapal lain yang berlabuh di Sidi Bou Said dijangka menyertai mereka di laut sebelum belayar ke Gaza.
Konvoi kali ini merupakan yang terbesar seumpamanya bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza yang kini berdepan keadaan kebuluran akibat penutupan semua lintasan oleh Israel sejak beberapa bulan lalu.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh hampir 65,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pengeboman tanpa henti menjadikan wilayah Gaza tidak lagi layak didiami manusia, selain menyebabkan kelaparan dan penularan penyakit.-AGENSI










