Venezuela kerah 15,000 tentera ke sempadan Colombia, dakwa AS gugat kedaulatan - Utusan Malaysia

Venezuela kerah 15,000 tentera ke sempadan Colombia, dakwa AS gugat kedaulatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Kerajaan Venezuela pada Isnin mengumumkan penghantaran 15,000 anggota tentera ke sempadan Colombia sebagai usaha memerangi penyeludupan dadah, ketika tekanan antarabangsa, khususnya dari Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak terhadap Presiden Nicolas Maduro.

Langkah itu diumumkan ketika tiga kapal perang AS dilaporkan menghampiri perairan Venezuela, satu tindakan yang disifatkan sebagai tekanan ketenteraan oleh Presiden Donald Trump terhadap rejim Maduro yang didakwa Washington sebagai mengetuai kartel pengedaran kokain.

“Venezuela adalah wilayah bebas dadah. Tiada tanaman daun coca, tiada pengeluaran kokain, bebas sepenuhnya!” tegas Maduro dalam rancangan televisyen mingguannya.

Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello, berkata penempatan pasukan keselamatan tertumpu di negeri Zulia dan Tachira, yang bersempadan langsung dengan Colombia.

“Di sini, kita benar-benar melawan penyeludupan dadah. Kita hadapi kartel dari semua arah,” katanya sambil mendedahkan 53 tan dadah telah dirampas sejak awal tahun ini.

AS menuduh Maduro dan Cabello sebagai anggota Cartel de los Soles, satu rangkaian dadah yang telah disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Washington.

Laporan media AS turut menyatakan selain menghantar tiga kapal perang kelas Aegis, Washington juga merancang penghantaran 4,000 anggota Marin ke rantau berdekatan Venezuela.

Sebagai tambahan, kerajaan AS telah melipat gandakan ganjaran kepada AS$50 juta bagi maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan Maduro atas dakwaan jenayah dadah.

Sebagai reaksi, Maduro menuduh Washington cuba menjatuhkan kerajaannya melalui taktik tekanan ketenteraan dan propaganda, sambil melancarkan kempen untuk merekrut ribuan anggota militan rakyat bagi mempertahankan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN