WASHINGTON: Ratusan lagi anggota Pengawal Kebangsaan dari enam negeri yang ditadbir Republikan dihantar ke Washington D.C bagi memperkukuh langkah luar biasa Presiden, Donald Trump membanjiri bandar pimpinan Demokrat itu dengan tentera dan ejen persekutuan.
Trump mendakwa, tindakan tersebut sebagai usaha menangani jenayah keganasan di ibu negara.
Gabenor Republikan Mississippi, Louisiana dan Tennesse mengumumkan persetujuan menghantar anggota mereka, beberapa hari selepas West Virginia, Carolina Selatan dan Ohio turut menyatakan komitmen sama atas permintaan pentadbiran Trump.
Trump menyifatkan Washington sebagai bandar yang dipenuhi keganasan dan gelandangan, namun dakwaan itu dinafikan oleh pegawai tempatan.
Data persekutuan dan bandar menunjukkan kadar jenayah kekerasan menurun dengan mendadak sejak peningkatan pada 2023, meskipun kadar pembunuhan di Washington masih tinggi berbanding bandar besar lain di Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan Washington Post yang memetik sumber tidak dinamakan, Jabatan Kehakiman membuka siasatan sama ada bandar itu memanipulasi statistik untuk menjadikan kadar jenayah kelihatan lebih rendah.
“D.C. memberikan angka jenayah palsu bagi mewujudkan ilusi keselamatan,” tulis Trump dalam hantaran di media sosial pada Isnin, tanpa mengemukakan sebarang bukti.
Beliau turut membuat dakwaan sama minggu lalu.
11 Ogos lalu, Trump mengumumkan kerahan 800 anggota Pengawal Kebangsaan ke ibu negara dan pengambilalihan sementara jabatan polis bandar itu.
Tindakan tersebut dianggap langkah luar biasa yang memperlihatkan kuasa Presiden terhadap Washington D.C.
Kerajaan Persekutuan turut menghantar ejen daripada pelbagai agensi, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk meronda di bandar tersebut.
Susulan cabaran undang-undang yang difailkan peguam negara bandar, pentadbiran Trump kemudian bersetuju dengan Datuk Bandar, Muriel Bowser untuk mengekalkan Ketua Polis, Pamela Smith mengendalikan operasi jabatan berkenaan.
Trump juga mengugut untuk melaksanakan operasi serupa di bandar lain yang ditadbir Demokrat seperti Chicago, meskipun beliau dijangka berdepan lebih banyak halangan undang-undang berbanding di Washington.
Pengkritik menuduh Trump cuba mencetuskan keadaan darurat bagi merampas kawalan lebih besar ke atas Washington dan menyasarkan bandar yang ditadbir Demokrat.- AGENSI










