‘Tindakan Trump mahu ambil alih Washington menghina hak sivil’

‘Tindakan Trump mahu ambil alih Washington menghina hak sivil’

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk dan kain rentang membantah rancangan Trump untuk menempatkan Pengawal Kebangsaan di Washington. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengisytiharkan kecemasan jenayah di ibu negara, sekali gus membolehkan Jabatan Kehakiman mengambil alih kawalan terhadap pasukan penguat kuasa undang-undang tempatan di Washington, pada Isnin.

Beliau turut mengumumkan Pentagon akan menghantar Pasukan Pengawal Kebangsaan ke bandar berpenduduk lebih 700,000 itu.

Tidak jauh dari Rumah Putih, penunjuk perasaan berkumpul dan melaungkan ‘boo’ sebagai tanda bantahan. Pentagon kemudian memaklumkan 800 anggota tentera telah dikerahkan dengan 100 hingga 200 orang ditugaskan membantu pihak berkuasa tempatan.

Pengarah Eksekutif Free DC, Keya Chatterjee menyifatkannya sebagai langkah drastik terhadap penindasan hak penduduk yang telah lama terpinggir.

“Ini bukan sekadar sesuatu yang belum pernah berlaku atau luar biasa. Ini adalah pemerintahan kuku besi,” katanya kepada Al Jazeera di tengah-tengah laungan penunjuk perasaan.

Hak penduduk Washington menjadi isu perdebatan sejak bandar itu ditubuhkan oleh Kongres pada 1790 menggunakan tanah dari Maryland dan Virginia.

Wilayah ini kekal di bawah kawalan langsung kerajaan persekutuan dan tidak pernah dianugerahkan taraf negeri walaupun Akta Home Rule 1973 memberi sedikit autonomi dengan membenarkan pemilihan pegawai tempatan.

Namun, semua undang-undang dan bajet bandar masih perlu diluluskan Kongres.

Status Washington sebagai bandar majoriti penduduk kulit hitam pertama di AS, dan kini sebagai bandar dengan populasi kulit hitam terbesar secara peratusan, menambah dimensi perkauman terhadap apa yang disifatkan aktivis sebagai penafian hak secara sistematik.

Pemimpin hak sivil, Reverend Al Sharpton mengecam langkah Trump sebagai tindakan paling menghina terhadap keadilan dan hak sivil.

“Trump mengambil tindakan menjijikkan, berbahaya dan menghina ini semata-mata demi kepentingan diri.

“Mari kita namakan serangan terhadap bandar majoriti kulit hitam ini sebagai cubaan mengalih perhatian penyokongnya yang marah dan kecewa terhadap cara pentadbirannya menangani fail Epstein,” katanya dalam kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN