Rumah Putih pertimbang ambil 10 peratus pegangan dalam Intel

Rumah Putih pertimbang ambil 10 peratus pegangan dalam Intel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Rumah Putih mengesahkan pentadbiran Presiden, Donald Trump sedang merangka satu perjanjian yang bakal menyaksikan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengambil 10 peratus pegangan dalam gergasi cip, Intel.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, langkah itu dibuat bagi mengutamakan kepentingan negara, khususnya dari segi keselamatan serta ekonomi.

“Presiden mahu meletakkan keperluan AS sebagai keutamaan,” katanya kepada media, semalam.

Langkah luar biasa itu dilihat mampu membantu Intel bersaing dengan pesaing utama seperti Nvidia, Samsung dan TSMC, terutamanya dalam pasaran cip kecerdasan buatan (AI) yang sedang berkembang pesat.

Perjanjian berkenaan dijangka menyokong rancangan pembinaan hab pembuatan utama Intel di negeri Ohio.

Intel sebelum ini tidak mengulas secara langsung mengenai laporan tersebut, namun menegaskan syarikat itu komited menyokong usaha Trump memperkukuh sektor pembuatan dan teknologi negara.

Sementara itu, syarikat pelaburan gergasi Jepun, Softbank mengumumkan pembelian saham bernilai AS$2 bilion (RM 8.45 bilion) dalam Intel pada Isnin, sekali gus mendorong harga saham Intel melonjak hampir tujuh peratus di Bursa New York semalam.

Walaupun langkah kerajaan mengambil pegangan dalam Intel dianggap wajar kerana kedudukan unik syarikat itu sebagai pengeluar cip berteknologi tinggi utama di AS, penganalisis memberi amaran campur tangan politik berpotensi melambatkan proses membuat keputusan syarikat dan menambah cabaran dalam usaha pemulihan.

Perkembangan itu berlaku ketika industri cip AS sedang diperhatikan rapat oleh Rumah Putih.

Minggu lalu, syarikat Nvidia dan AMD bersetuju membayar 15 peratus hasil daripada pasaran China kepada kerajaan AS sebagai sebahagian syarat baharu mendapatkan lesen eksport ke negara tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN