NICE: Pendakwa raya di selatan Perancis menjalankan siasatan berhubung kematian seorang lelaki berusia 46 tahun semasa penstriman langsung internet yang memaparkan mangsa dianiaya oleh dua individu lain di hadapan kamera.
Mangsa, dikenali dalam talian sebagai Jean Pormanove atau JP dengan nama sebenar Raphael Graven, terkenal kerana membuat penstriman langsung yang memperlihatkan dirinya didera atau dihina sebagai kandungan untuk tontonan umum.
Menurut pejabat pendakwa raya di Nice, Graven meninggal dunia pada Isnin di kampung Contes, berhampiran bandar tersebut.
Pengguna internet menyatakan rakaman video yang disiarkan secara langsung di platform Australia Kick itu menunjukkan Graven tidak bergerak di bawah selimut, manakala seorang daripada dua lelaki bersamanya dilihat melemparkan botol air plastik ke arahnya.
Pendakwa raya mengesahkan siasatan dibuka untuk mengenal pasti punca sebenar kematian, dan bedah siasat sudah diarahkan.
Polis di Nice turut memaklumkan mula menjalankan siasatan sejak lapan bulan lalu terhadap dakwaan tindakan ganas disengajakan terhadap individu berstatus rentan, yang dijadikan bahan tontonan di internet.
Siasatan tersebut bermula pada Disember susulan laporan media oleh Mediapart yang mendedahkan kewujudan kandungan video seperti itu yang menarik ribuan penonton, khususnya di platform Kick.
Apabila diminta mengulas siasatan berkenaan, pihak Kick enggan memberikan sebarang maklumat, dengan alasan dasar kerahsiaan syarikat.
Platform Kick dianggap mempunyai syarat pengguna yang lebih longgar berbanding pesaing utamanya, Twitch, yang lebih dikenali dalam kalangan komuniti penstriman langsung.-AFP










