TAIPEI: Majlis Bandaraya Taipei menerima kritikan hebat selepas mendedahkan robot anjing yang dibeli untuk membantu rondaan dan pemantauan jalan di ibu negara itu merupakan keluaran syarikat China yang dikaitkan dengan tentera negara berkenaan.
Timbalan Datuk Bandar Taipei, Hammer Lee, dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa memperkenalkan rakan rondaan baharu itu yang dilengkapi sistem kamera optik berteknologi tinggi.
“Robot ini mampu menghasilkan imej panorama 360 darjah, mengenal pasti lokasi kemudahan dengan tepat, dan melaporkan sebarang kerosakan atau kehilangan secara automatik,” kata Lee sambil menegaskan keupayaannya mengumpul data komprehensif untuk pengurusan bandar.
Walaubagaimanapun, pada Rabu, Ahli Majlis Pembangkang, Chien Shu-pei, mendedahkan robot tersebut dihasilkan oleh Unitree, sebuah syarikat robotik pesat berkembang yang berpangkalan di Hangzhou, China.
Syarikat itu terkenal selepas robotnya dipamerkan dalam acara Gala Tahun Baharu Cina rasmi dan temasya robot humanoid di Beijing manakala Ketua Pegawai Eksekutifnya, Xingxing Wang, turut dilaporkan pernah bertemu Presiden China, Xi Jinping.
Awal tahun ini, sebuah jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) memberi amaran produk Unitree mempunyai teknologi “dua guna”, yang dipasarkan untuk kegunaan awam tetapi turut digunakan dalam latihan ketenteraan dan operasi polis di China.
Chien menyifatkan pembelian itu sebagai tindakan yang melanggar garis merah keselamatan maklumat dan keselamatan negara.
“Tindakan ini tidak ubah seperti membawa Trojan Horse China ke dalam kehidupan harian rakyat Taipei,” katanya di Facebook.
Dalam kenyataan balas, Bahagian Kerja Baharu majlis itu menjelaskan, hanya sebuah robot dibeli melalui subkontraktor untuk tujuan percubaan penyelenggaraan disamping turut memaklumkan sistem kamera dipasang pada robot berkenaan dibangunkan oleh kontraktor tempatan iaitu Supratech.
China yang mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, terus meningkatkan tekanan termasuk gangguan ketenteraan, risikan dan serangan siber hampir setiap hari.
Taiwan juga telah meluluskan undang-undang ketat berkaitan penggunaan teknologi dan peralatan dari China bagi mengelakkan kebocoran data sensitif. -AGENSI










