CALIFORNIA: Lyle Menendez, seorang daripada dua beradik yang membunuh ibu bapa mereka dalam kes yang menggemparkan Amerika Syarikat pada 1989 dinafikan parol oleh Lembaga Parol California.
Keputusan itu diumumkan sehari selepas permohonan parol adiknya, Erik Menendez, turut ditolak, meskipun hukuman penjara mereka diringankan kepada 50 tahun hingga seumur hidup pada Mei lalu.
Menurut laporan, permohonan Lyle ditolak kerana dia masih menunjukkan ciri-ciri tingkah laku antisosial, termasuk penggunaan telefon bimbit secara haram di penjara dari 2018 hingga 2024,
memiliki barangan terlarang seperti pemetik api dan objek lain yang melanggar peraturan penjara
Walaupun Lyle, kini berusia 57 tahun, menyatakan kekesalan mendalam semasa sesi parol maya, pihak berkuasa menyifatkan beliau masih berisiko kepada keselamatan awam.
“Ibu dan ayah saya tidak sepatutnya mati pada hari itu. Saya benar-benar menyesal,” katanya dalam kenyataan penutup.
Peguam keluarga Menendez menyatakan kekecewaan dengan keputusan itu tetapi berjanji untuk meneruskan usaha pemulihan dan permohonan semula pada masa hadapan.
“Kami yakin mereka telah berubah. Ini bukan pengakhiran,” kata wakil keluarga dalam kenyataan.
Gabenor California, Gavin Newsom, masih mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan gubernatorial, namun tiada keputusan rasmi dikeluarkan setakat ini.
Lyle dan Erik kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di Penjara Richard J. Donovan, San Diego, selepas didapati bersalah membunuh ibu bapa mereka, Jose dan Kitty Menendez, di rumah mewah mereka di Beverly Hills.
Kes mereka kembali mencuri perhatian selepas dokumentari Netflix “Monsters: The Lyle and Erik Menendez Story” ditayangkan pada 2024, yang mencetuskan perdebatan baharu tentang penderaan keluarga, trauma, dan keadilan jenayah.










