WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin mengumumkan beliau akan menaikkan tarif secara besar-besaran terhadap India berikutan membeli minyak dari Russia.
Moscow didakwa menjadikan pembelian itu sebagai sumber utama kewangan bagi perang Russia di Ukraine.
“India bukan sahaja membeli minyak Russia dalam jumlah besar, malah mereka menjual sebahagian besar minyak itu di pasaran terbuka untuk meraih keuntungan besar.
“Susulan itu, Washington akan menaikkan tarif India secara besar-besaran,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social.
Namun, beliau tidak menjelaskan kadar tarif baharu yang akan dikenakan.
Minggu lalu, Trump menyatakan beliau akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap barangan yang diimport dari India dan memberitahu ekonomi kelima terbesar dunia itu juga akan berdepan hukuman tambahan yang tidak diperincikan.
Pada hujung minggu lalu, dua sumber kerajaan India memberitahu Reuters India akan terus membeli minyak dari Russia walaupun menerima ancaman dari Trump.
India secara rasmi menolak kritikan daripada AS dan Kesatuan Eropah, menyifatkannya sebagai ‘tidak wajar dan tidak berasas’ untuk menyasarkan negara itu berhubung import minyak dari Russia.
“Seperti mana-mana ekonomi utama, India akan mengambil semua langkah untuk melindungi kepentingan negara dan keselamatan ekonominya,” kata jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal.
Beliau berkata, import minyak oleh India adalah ‘satu keperluan yang didorong oleh keadaan pasaran global’ dan tidak tidak ditetukan mana-mana negara.
Beliau turut mengkritik negara-negara Barat yang masih menjalankan urusan perdagangan dengan Russia.










