GAZA: Situasi di Kompleks Perubatan Nasser, hospital terakhir yang masih berfungsi di selatan Gaza, semakin meruncing apabila kakitangannya sendiri berdepan kebuluran.
Jururawat Palestin-Amerika, Amanda Nasser mendedahkan, kebuluran bukan sahaja menjejaskan orang awam dan pesakit, bahkan juga doktor serta jururawat yang bertugas tanpa henti.
Beliau menyaksikan sistem kesihatan di wilayah itu berada di ambang kehancuran, ketika pengeboman berterusan dan sekatan Israel mengheret pesakit dan kakitangan perubatan ke dalam bencana kemanusiaan.
Amanda, 39, tiba di Gaza kira-kira seminggu lalu dalam misi kemanusiaan dan kini bertugas di jabatan kecemasan hospital berkenaan.
“Keadaan di sini sangat dahsyat. Sistem kesihatan berada di ambang keruntuhan. Ini adalah hospital terakhir yang masih berfungsi di Gaza.
“Kebanyakan pesakit yang dihantar ke sini mengalami kecederaan mengerikan, luka tembakan di kepala, dada, abdomen, pelvis dan seluruh anggota badan,” katanya kepada Anadolu.
Amanda berkata, kebanyakan kes melibatkan lelaki muda berusia sekitar belasan tahun atau 20-an.
Selain kecederaan, dia juga memberi amaran bencana kebuluran turut melanda kakitangan perubatan di hospital berkenaan.
“Saya melihat ramai yang kekurangan zat makanan, termasuk kakitangan. Semua orang sangat kurus, mengalami dehidrasi dan bekerja berjam-jam tanpa henti.
“Ramai kanak-kanak juga kekurangan zat. Setakat ini, di Kompleks Perubatan Nasser, kami melihat beberapa bayi meninggal dunia akibat kebuluran,” katanya.
DESAK TINDAKAN SEGERA
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sejak awal 2025, hampir 28,000 kes kekurangan zat makanan direkodkan di wilayah itu, dengan 263 kematian termasuk 112 kanak-kanak.
Susulan itu, Amanda mendesak masyarakat antarabangsa untuk bersuara supaya Gaza boleh mencapai gencatan senjata dan mengakhiri peperangan panjang di wilayah itu.
“Rakyat Palestin di sini mahu hidup normal. Mereka tidak layak diperlakukan begini. Ini adalah cara paling kejam dan tidak berperikemanusiaan untuk melayan manusia. Ia mesti dihentikan segera,” katanya.
Dia turut menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk datang sendiri melihat keadaan sebenar di Gaza.
Menurutnya, wartawan juga perlu terus bersuara, menyatakan kebenaran dan menyampaikan mesej kepada dunia.
“Ada banyak cara untuk menghentikan konflik ini, boikot produk yang membiayai pembunuhan beramai-ramai terutama yang dijual di AS, Eropah dan produk Israel.
“Sebagai petugas kesihatan, saya rasa ia adalah tanggungjawab saya untuk berada di sini membantu rakyat dan berharap dapat menyumbang kepada perjuangan yang lebih besar,” katanya.
MAKANAN SENGAJA DISEKAT
Pengalaman serupa turut dikongsikan seorang doktor pediatrik dan Ahli Lembaga Pengarah Doktor Tanpa Sempadan, Aqsa Durrani, ketika menjadi sukarelawan selama dua bulan di Gaza.
Doktor warga Amerika itu mendedahkan, dia hanya dibenarkan membawa masuk kira-kira 3.17 kilogram (kg) makanan ke Gaza dan menghabiskan tempoh dua bulan bertugas dengan jumlah tersebut.
Durrani menggambarkan bagaimana dia merawat mangsa serangan udara Israel bersama rakan doktor lain yang berada dalam keadaan lapar dan keletihan.
“Saya pernah bekerja di banyak tempat yang dilanda kebuluran, tetapi paling mengejutkan dalam konteks ini betapa kejamnya ia, kerana disengajakan.
“Di hospital, terdapat kanak-kanak cedera parah akibat serangan, hilang tangan, kaki dan melecur. Tetapi mereka bukan menjerit akibat kesakitan, sebaliknya kerana lapar,” katanya kepada Humans of New York.
Durrani mendedahkan, ketika misinya di Gaza berakhir dan keluar dari pintu pagar, perkara pertama dilihatnya adalah sekumpulan askar Israel duduk di meja sambil menikmati makanan.
“Saya tidak pernah berasa sangat loya apabila melihat sebuah meja penuh dengan makanan,” katanya.
Durrani juga mengimbas kekesalan yang dirasai apabila terpaksa memberitahu ibu yang menangis dan terdesak, dia tiada makanan untuk diberikan kepada anak mereka.
“Bekalan berada hanya beberapa kilometer sahaja. Mereka bukan tiada makanan, tetapi keperluan itu sengaja dihalang daripada sampai kepada rakyat Gaza,” katanya.










