WASHINGTON: Pelakon yang terkenal menerusi watak Superman dalam siri popular Lois & Clark: The New Adventures of Superman pada era 1990-an, Dean Cain mengumumkan dia kini menyertai agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) sebagai menyokong agenda antiimigresen Presiden Donald Trump.
Pengumuman itu dibuat ketika pentadbiran Trump giat memperhebatkan serbuan imigresen di seluruh negara selepas kembali ke Rumah Putih.
ICE baru-baru ini menerima tambahan peruntukan sebanyak AS$75 bilion (RM317 bilion) di bawah rang undang-undang ‘big beautiful bill’ Trump, termasuk peruntukan untuk merekrut 10,000 ejen tambahan menjelang 2029.
Dalam satu temu bual di Fox News pada malam Rabu, Cain memberitahu hos Jesse Watters keputusannya untuk menyertai ICE tercetus selepas berkongsi video promosi pengambilan ejen ICE di Instagram miliknya.
“Saya sebenarnya merupakan timbalan sherif yang sudah mengangkat sumpah dan pegawai polis simpanan.
“Saya bukan anggota ICE, tetapi selepas saya kongsikan video itu dan anda menyiarkannya di rancangan anda, ia jadi tular.
“Kini saya sudah berbincang dengan beberapa pegawai ICE, dan saya akan mengangkat sumpah sebagai ejen ICE secepat mungkin,” katanya.
Apabila ditanya apa yang mendorongnya untuk menyertai agensi itu, Cain menjawab,
“Negara ini dibina oleh patriot yang tampil ke hadapan, sama ada popular atau tidak, dan melakukan perkara yang betul. Saya percaya ini adalah perkara yang betul,” katanya.
Dia turut menyatakan harapan bekas pegawai penguatkuasa lain akan turut serta dalam usaha tersebut.
Sejak Trump kembali memegang jawatan presiden, ICE melaksanakan serbuan berskala besar di seluruh negara, dengan sasaran minimum 3,000 tangkapan setiap hari.
Serbuan ini bukan sahaja menyasarkan pendatang tanpa izin, malah turut melibatkan pemegang status perlindungan sah dan juga rakyat AS yang dilaporkan ditahan tanpa proses perundangan sewajarnya.










