AS naikkan ganjaran tangkap Presiden Venezuela AS$50 juta

AS naikkan ganjaran tangkap Presiden Venezuela AS$50 juta

NICOLAS MADURO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menggandakan jumlah ganjaran kepada AS$50 juta (RM211 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Maduro kini berdepan pertuduhan berat berkaitan pengedaran dadah dan pengganasan antarabangsa.

Pengumuman itu dibuat oleh Peguam Negara AS, Pam Bondi, yang menyifatkan Maduro sebagai ‘seorang daripada pengedar dadah paling berbahaya di dunia dan ancaman kepada keselamatan negara’.

“Di bawah kepemimpinan Presiden Trump, Maduro tidak akan terlepas daripada keadilan,” katanya dalam kenyataan video yang dimuat naik ke media sosial.

Ganjaran tersebut meningkat dua kali ganda berbanding jumlah asal AS$25 juta (RM106 juta) yang ditawarkan pada Januari lalu.

Maduro, 62, didakwa mahkamah persekutuan di New York sejak 2020 bagi pelbagai tuduhan termasuk penglibatan dalam konspirasi keganasan dadah serta memimpin sindiket Kartel Matahari yang disyaki menghantar beratus tan kokain ke AS dalam tempoh dua dekad.

Jabatan Kehakiman mendakwa kartel tersebut menjalinkan kerjasama dengan kumpulan pemberontak FARC dari Colombia, serta geng Tren de Aragua di Venezuela dan kartel Sinaloa dari Mexico.

Agensi Penguatkuasaan Dadah AS (DEA) merampas lebih 30 tan kokain yang dikaitkan dengan rangkaian ini, dengan hampir tujuh tan dikaitkan secara langsung dengan Maduro.

Sejak tahun lalu, kerajaan AS juga merampas AS$700 juta (RM3 bilion) aset berkaitan Maduro, termasuk dua pesawat kerajaan.

Washington tidak mengiktiraf Maduro sebagai presiden sah Venezuela selepas menyifatkan pilihan raya negara itu tidak sah pada 2018.

Dakwaan penipuan turut menyelubungi Pilihan Raya Presiden Venezuela 2024 apabila Maduro mengisytiharkan kemenangan meskipun terdapat bukti penyelewengan.

Jika disabit kesalahan, Maduro boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN