AS gantung visa pelawat kepada semua penduduk Gaza - Utusan Malaysia

AS gantung visa pelawat kepada semua penduduk Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu mengumumkan penggantungan semua visa pelawat kepada penduduk Semenanjung Gaza, dengan alasan sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap proses dan prosedur pengeluarannya, lapor agensi berita Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X (dahulunya Twitter), Jabatan Negara AS memaklumkan semua visa pelawat untuk individu dari Gaza dihentikan sementara, sementara pihaknya menjalankan semakan penuh dan menyeluruh terhadap proses serta prosedur.

“Ini termasuk semakan terhadap kaedah yang digunakan untuk mengeluarkan sejumlah kecil visa sementara atas tujuan perubatan dan kemanusiaan sejak beberapa hari lalu,” menurut kenyataan itu.

Langkah itu diambil ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing, susulan kempen ketenteraan Israel yang berlarutan sejak Oktober 2023. Serangan berterusan mengorbankan hampir 61,900 rakyat Palestin, menurut sumber tempatan, dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran di wilayah yang kini berada di ambang kebuluran.

Lebih memburukkan keadaan, kemusnahan hampir semua hospital utama di Gaza, termasuk Hospital Al-Ahli Arab, telah menyukarkan mangsa untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, tekanan terhadap Israel di pentas antarabangsa semakin meningkat.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangannya di Gaza, dakwaan yang dinafikan keras oleh pihak Tel Aviv.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN