SHANGHAI: Seorang wanita warga emas di Shanghai dilaporkan sanggup membelanjakan lebih dua juta yuan (RM1.18 juta) akibat ‘ketagihan’ membeli barangan dalam talian sehingga terpaksa menyewa sebuah rumah khusus untuk menyimpan bungkusan yang belum dibuka.
Wanita berusia 66 tahun yang dikenali sebagai Wang, tinggal bersendirian di sebuah pangsapuri di daerah Jiading, Shanghai namun kediamannya kini sudah dipenuhi bungkusan hingga tiada lagi ruang selamat untuk dia tidur.
Menurut portal Kan Kan News, Wang mengakui ketagih membeli-belah secara dalam talian kerana aktiviti itu membuatkan dirinya berasa teruja dan gembira.
Lebih membimbangkan, Wang menyimpan kebanyakan bungkusan itu tanpa membukanya, menyebabkan kediamannya dipenuhi timbunan kotak dan barang-barang yang tidak tersusun sehingga menimbulkan bau kurang menyenangkan.
Beberapa jiran turut membuat aduan apabila kediaman Wang sering dikerumuni lalat dan lipas ekoran keadaan rumahnya yang tidak terurus.
Wang mendakwa, selain masalah ketagihan, dia sengaja berbelanja secara berlebihan bagi mengelakkan saudara-mara datang meminjam wang daripadanya.
“Saya sengaja habiskan duit membeli barang supaya mereka tidak datang meminjam duit. Apabila mereka nampak rumah saya penuh dengan barang, tentu mereka rasa tidak boleh minta apa-apa lagi,” katanya.
Antara barangan yang sering dibeli Wang termasuklah kosmetik, makanan tambahan kesihatan dan barang kemas emas, kebanyakannya melalui sesi penjualan secara langsung di platform e-dagang.
Pihak jawatankuasa perumahan sudah beberapa kali menghubungi ahli keluarga Wang untuk membantu memujuknya agar menghentikan tabiat itu, namun usaha tersebut tidak berhasil.
Pada Mei tahun lalu, satu operasi pembersihan dijalankan selepas mendapat kebenaran daripada Wang, tetapi tabiat ketagihan mengumpul barang itu tetap berterusan.










