LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer mengumumkan United Kingdom (UK) akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada September sekiranya Israel gagal mengambil langkah-langkah substantif termasuk bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza.
Langkah bersejarah yang merupakan sebahagian daripada pelan Starmer untuk mewujudkan keamanan berkekalan ini diumumkan selepas beliau memanggil semula mesyuarat Kabinet yang sedang bercuti bagi membincangkan keadaan yang semakin meruncing di wilayah terkepung itu.
Pengumuman ini selari dengan kenyataan Perancis yang turut menyatakan hasrat untuk mengiktiraf negara Palestin pada bulan yang sama, menjadikan kedua-dua negara bersekutu Eropah itu berpotensi menjadi yang pertama dalam kalangan negara G7 berbuat demikian.
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung dari Downing Street sejurus selepas mesyuarat Kabinet, Starmer menyatakan, Britain akan mengiktiraf negara Palestin jika Israel masih belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada September.
“Israel mesti menamatkan situasi yang amat menyedihkan di Gaza, bersetuju dengan gencatan senjata dan komited terhadap perdamaian jangka panjang yang berterusan serta menghidupkan semula prospek penyelesaian dua negara.
“Saya telah lama menyatakan kami akan mengiktiraf negara Palestin sebagai sumbangan kepada proses damai yang sebenar, pada saat yang memberi impak maksimum kepada penyelesaian dua negara. Dengan penyelesaian itu kini terancam, inilah masanya untuk bertindak,” tambah beliau.
Starmer turut mengemukakan beberapa tuntutan terhadap kumpulan pejuang Palestin, Hamas yang masih menahan tebusan Israel yang diculik dalam serangan pada 7 Oktober 2023.
“Mereka mesti segera membebaskan semua tebusan, menandatangani perjanjian gencatan senjata, meletakkan senjata dan menerima bahawa mereka tidak akan memainkan sebarang peranan dalam pemerintahan Gaza,” ujar beliau.
Israel segera membantah langkah UK itu dengan menyatakan ia merupakan ‘ganjaran’ kepada Hamas dan menjejaskan usaha mencapai gencatan senjata di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa berkata, tindakan Starmer itu ibarat memberikan ganjaran kepada ‘keganasan kejam Hamas’ dan menghukum mangsa-mangsanya.- AFP










