Trump perlu terima realiti baharu nuklear - Korea Utara - Utusan Malaysia

Trump perlu terima realiti baharu nuklear – Korea Utara

KIM YO-JONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Korea Utara menegaskan Amerika Syarikat (AS) mesti menerima hakikat keadaan sudah berubah sejak pertemuan sidang kemuncak antara kedua-dua negara sebelum ini, dan tiada lagi dialog pada masa hadapan yang akan membawa kepada penamatan program nuklear Pyongyang, lapor agensi berita rasmi KCNA pada Selasa.

Kim Yo-jong, adik kepada Pemimpin Tertinggi Korea Utara Kim Jong-un mengakui hubungan peribadi antara Jong-un dan Presiden AS Donald Trump tidaklah buruk.

Namun beliau menegaskan jika Washington berniat menggunakan hubungan peribadi itu sebagai alat untuk menamatkan program senjata nuklear Korea Utara, usaha itu hanya akan menjadi sia-sia

“Jika AS gagal menerima realiti yang telah berubah dan terus berpegang pada pendekatan lama yang gagal, pertemuan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK)-AS hanya akan kekal sebagai ‘harapan’ sebelah pihak AS,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh KCNA.

Yo-jong berkata, kemampuan nuklear Korea Utara serta persekitaran geopolitik telah berubah secara drastik sejak tiga kali pertemuan Jong-un dan Trump semasa penggal pertama presiden AS itu.

“Sebarang cubaan untuk menafikan kedudukan DPRK sebagai negara bersenjata nuklear akan ditolak sepenuhnya,” tegas beliau.

Diminta mengulas kenyataan dari Korea Utara itu, seorang pegawai Rumah Putih memberitahu Reuters Trump masih komited kepada matlamat yang sama seperti semasa tiga sidang kemuncak terdahulu bersama Kim.

“Presiden kekal dengan objektif tersebut dan masih terbuka untuk berhubung dengan Jong-un bagi mencapai denuklearisasi sepenuhnya di Korea Utara,” kata pegawai berkenaan.

Pada pertemuan pertama mereka di Singapura pada 2018, Trump dan Jong-un menandatangani perjanjian prinsip untuk menjadikan Semenanjung Korea bebas daripada senjata nuklear.

Namun, sidang kemuncak kedua di Hanoi tahun berikutnya gagal mencapai kata sepakat berikutan pertikaian mengenai penghapusan sekatan antarabangsa terhadap Pyongyang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN