Situasi kemanusiaan Gaza makin nazak, bayi hanya minum air tercemar dicampur kacang

Situasi kemanusiaan Gaza makin nazak, bayi hanya minum air tercemar dicampur kacang

KANAK-kanak Palestin duduk berhampiran pintu rumah yang rosak sambil menjamah makanan di Bandar Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Situasi kemanusiaan di Gaza makin parah apabila bantuan kemanusiaan terus disekat hingga menyebabkan ramai bayi kini terpaksa minum air tercemar yang dicampur kacang bagi menggantikan susu ibu.

Seorang jururawat kecemasan daripada Persatuan Perubatan Palestin Australia New Zealand (PANZMA) yang berpangkalan di Gaza, Andee Clark Vaughan, memberitahu Al Jazeera pihak berkuasa Israel bertindak merampas susu formula bayi daripada petugas perubatan yang cuba memasuki wilayah itu.

Vaughan berkata, kebanyakan ibu di Gaza menghadapi kekurangan nutrisi sehingga tidak mampu menghasilkan susu badan untuk menyusukan bayi mereka.

“Sistem imun di sini sangat lemah akibat kekurangan zat makanan. 

“Apa yang kami saksikan ialah para ibu berusaha sedaya upaya mencampurkan air, yang selalunya tercemar, dengan kacang atau lentil demi menghasilkan sesuatu yang boleh mengenyangkan dan membekal sedikit nutrisi buat anak mereka,” katanya.

Isnin lalu, Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) memaklumkan lebih 5,800 kanak-kanak didiagnosis kekurangan zat makanan di Gaza sepanjang bulan lalu, termasuk lebih 1,000 kes melibatkan kekurangan zat makanan akut yang serius.

Menurut Unicef, angka itu menandakan peningkatan untuk empat bulan berturut-turut, menggambarkan krisis kemanusiaan semakin buruk terutama dalam kalangan kanak-kanak Gaza.

Sejak Januari 2024, Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memeriksa lebih 240,000 kanak-kanak bawah lima tahun di kliniknya dan memaklumkan zat makanan akut jarang berlaku di Gaza sebelum perang.

Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini, memberi amaran satu daripada 10 kanak-kanak yang diperiksa di klinik UNRWA di Gaza kini mengalami kekurangan zat makanan, ketika kebuluran semakin parah akibat sekatan berterusan Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan.

Beliau menyifatkan penderitaan yang dialami penduduk Palestin sebagai ‘direka dan berpunca daripada tindakan manusia’, berikutan sekatan ketat Israel ke atas kemasukan bantuan ke wilayah tersebut.

Lazzarini menegaskan, PBB mesti dibenarkan menjalankan tugasnya di Gaza, terutama dalam membawa masuk bantuan kemanusiaan secara besar-besaran termasuk untuk kanak-kanak.

“Sebarang kelewatan tambahan terhadap gencatan senjata akan menyebabkan lebih banyak kematian,” katanya, sambil memaklumkan lebih 870 rakyat Palestin kelaparan terbunuh setakat ini ketika cuba mendapatkan makanan dari sistem agihan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Pengarah Komunikasi UNRWA, Juliette Touma, dalam sidang media kepada wartawan di Geneva berkata, bekalan ubat-ubatan, makanan berzat, barangan kebersihan dan bahan api semakin berkurangan.

“Pasukan kesihatan kami mengesahkan kadar kekurangan zat makanan semakin meningkat di Gaza, terutama sejak sekatan diperketatkan lebih empat bulan lalu.

“Seorang jururawat yang kami temui berkata, beliau hanya melihat kes-kes kekurangan zat makanan seperti itu dalam buku teks dan dokumentari.

“Ketika kekurangan zat makanan dalam kanak-kanak semakin merebak, UNRWA kini mempunyai lebih 6,000 trak membawa makanan, bekalan kebersihan dan bekalan perubatan yang menunggu untuk dibenarkan masuk ke Gaza,” kata Touma.

HENTI OPERASI UNRWA

Sementara itu, Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen mengumumkan pemotongan bekalan elektrik dan air ke pejabat UNRWA sebagai langkah untuk menghentikan operasi agensi tersebut.

Di bawah kempen ‘Mematikan lampu di UNRWA’, Cohen dalam hantaran di X mendakwa, undang-undang untuk memotong bekalan elektrik dan air ke pejabat UNRWA diterbitkan, yang akan menghentikan operasi agensi itu di Israel.

Cohen mendakwa, agensi PBB itu berperanan sebagai ‘cabang operasi Hamas’, sambil menuduh ia bertindak sebagai  ‘tempat penularan hasutan, pembunuhan dan tidak layak untuk wujud’.

Israel secara rasmi melaksanakan larangan ke atas aktiviti UNRWA pada akhir Januari lalu.

Agensi itu terpaksa mengosongkan pejabat utamanya di kejiranan Sheikh Jarrah di Timur Baitulmuqaddis, dan pihak berkuasa Israel kemudiannya mengarahkan penutupan enam sekolah kendalian UNRWA di bandar itu.

Pada 28 Oktober 2024, Parlimen Israel meluluskan dua undang-undang yang menghalang UNRWA daripada beroperasi di negara haram itu, menarik balik keistimewaan dan kekebalannya, serta melarang sebarang hubungan rasmi dengan agensi tersebut.

BANTAHAN MESIR

Dalam pada itu, Mesir menyatakan bantahan keras terhadap rancangan kontroversi Israel untuk membina ‘kota khemah’ bagi ratusan ribu rakyat Palestin yang dipindahkan di kawasan Rafah.

Menurut saluran Israel, Channel 7, delegasi keselamatan Mesir yang terlibat dalam rundingan pengantaraan, menolak sepenuhnya peta penempatan ketenteraan Israel yang dibentangkan Menteri Pertahanan, Israel Katz.

Mereka menegaskan pelan tersebut merupakan ancaman besar terhadap keselamatan negara Mesir.

Sementara itu, Channel 13 melaporkan, Kaherah menilai rancangan ‘kota khemah’ itu sebagai bom jangka yang boleh mencetuskan ketidakstabilan lebih besar di rantau tersebut.

Susulan perkembangan itu, Mesir dilapor meningkatkan penempatan pasukan tentera dan senjata berat di Kawasan C Semenanjung Sinai, langkah yang dilihat mungkin melanggar perjanjian damai dengan Israel.

Peningkatan ketenteraan di Sinai kini menjadi mesej tegas kepada Tel Aviv, dengan laporan menunjukkan Mesir mungkin mempertimbang semula perjanjian damai tersebut sekiranya Israel terus dianggap sebagai ancaman langsung terhadap keselamatan negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN