RIYADH: Putera Khaled Talal mengumumkan pemergian anakandanya, Putera Al-Waleed Khaled yang menghembuskan nafas terakhir selepas berada dalam keadaan koma selama hampir dua dekad akibat kemalangan jalan raya di London pada 2005.
Menurut Putera Khaled, solat jenazah akan dilangsungkan pada hari ini di Masjid Imam Turki bin Abdullah di Riyadh, sejurus selepas solat Asar.
Putera Al-Waleed yang dikenali ramai sebagai ‘Putera Tidur’, mengalami koma penuh sejak kemalangan tersebut ketika sedang melanjutkan pelajaran di United Kingdom (UK).
Sepanjang tempoh hampir 20 tahun, beliau berada di bawah pemantauan perubatan yang rapi tanpa pernah sedar sepenuhnya, walaupun terdapat beberap pergerakan terhad dikesan dalam detik yang singkat.
Sepanjang tempoh ujian itu, Putera Khaled sentiasa menolak untuk menghentikan sokongan hayat anakandanya, dengan berpegang teguh kepada keyakinan soal hidup dan mati adalah ketentuan mutlak daripada Allah SWT.
Keadaan Putera Alwaleed menarik simpati dari seluruh pelusuk Arab Saudi dan dunia Islam, dengan jutaan rakyat mengikuti perkembangan kisahnya selama bertahun-tahun.-AGENSI










