Pentagon kurangkan penempatan tentera kontroversi di Los Angeles

Pentagon kurangkan penempatan tentera kontroversi di Los Angeles

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth mengarahkan pengunduran 2,000 anggota Pengawal Nasional dari Los Angeles, sekali gus mengurangkan separuh jumlah penempatan tentera yang sebelum ini mencetus kontroversi di bandar tersebut, menurut kenyataan Pentagon.

Presiden, Donald Trump sebelum ini mengarahkan ribuan anggota Pengawal Nasional dan ratusan anggota Marin untuk dikerahkan ke Los Angeles bulan lalu susulan protes terhadap operasi imigresen Persekutuan, langkah yang ditentang oleh para pemimpin bandar dan Gabenor California dari parti Demokrat, Gavin Newsom.

“Beribu-ribu anggota masih digerakkan secara Persekutuan di Los Angeles tanpa sebab dan tidak dapat melaksanakan tugas penting mereka di seluruh negeri. Akhiri sandiwara ini dan hantar semua pulang,” tulis Newsom di platform X, merujuk kepada peranan Pengawal Nasional dalam membantu operasi pemadaman kebakaran di California.

Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, pada Selasa mengesahkan pengunduran 2,000 anggota Pengawal Nasional California (79th IBCT) daripada misi perlindungan Persekutuan sambil menyatakan keadaan huru-hara di Los Angeles semakin reda.

Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass menyambut baik keputusan itu dan menegaskan kejayaan ini dicapai hasil tindakan kolektif rakyat bandar itu mengadakan protes aman dan mengambil tindakan undang-undang.

“Perkara ini berlaku kerana rakyat Los Angeles bersatu dan teguh pendirian. Kami menganjurkan protes secara aman, menyertai perhimpunan dan menyaman pentadbiran Trump, semua ini membawa kepada pengunduran hari ini,” kata datuk bandar daripada parti Demokrat itu.

Sebagai sebuah ‘bandar perlindungan’ yang menempatkan ratusan ribu pendatang tanpa dokumen, Los Angeles sering menjadi sasaran pentadbiran Trump sejak beliau kembali memegang jawatan Presiden pada Januari lalu.

Selepas serbuan imigresen mencetuskan protes dan ketegangan bulan lalu, Trump yang membesar-besarkan tahap kekacauan mengarahkan penempatan Pengawal Nasional dan Marin AS bagi mengekang pergolakan.

Ini merupakan kali pertama sejak tahun 1965 seorang Presiden AS mengerahkan Pengawal Nasional tanpa persetujuan gabenor negeri.

Newsom sebelum ini menyatakan kehadiran tentera tidak diperlukan memandangkan protes kebanyakannya berlangsung secara aman.

Pada akhir Jun, pejabat beliau melaporkan pasukan pemadam kebakaran daripada Pengawal Nasional California hanya beroperasi pada kapasiti sekitar 40 peratus akibat penempatan haram oleh Trump ketika kebakaran mula berlaku di pelbagai kawasan di seluruh negeri.

California kini sedang mencabar penempatan tersebut di mahkamah, dengan berhujah Presiden bertindak melampaui kuasanya, walaupun buat masa ini tentera masih dibenarkan berada di lokasi.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN