Pelampau kanan Israel bincang pelan 'Riviera Gaza'

Pelampau kanan Israel bincang pelan ‘Riviera Gaza’

KEADAAN menunjukkan kemusnahan teruk hampir keseluruhan bangunan di Gaza akibat serangan Israel sejak Oktober 2023.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Beberapa pemimpin sayap kanan Israel mengadakan mesyuarat di Knesset bagi membincangkan cadangan pembangunan semula Gaza sebagai kawasan pelancongan mesra pelawat, ketika krisis kemanusiaan di wilayah itu semakin meruncing.

Mesyuarat pada Selasa itu dinamakan sebagai ‘Riviera di Gaza: Dari Visi ke Realiti’, yang dianjurkan oleh beberapa ahli Parlimen berhaluan kanan, termasuk Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich dan aktivis penempatan Yahudi, Daniella Weiss.

Cadangan itu dilihat selari dengan idea Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Februari lalu, yang mencadangkan Gaza dijadikan ‘Riviera Asia Barat’ di bawah kawalan Washington, dengan syarat penduduk Palestin dipindahkan keluar dari wilayah tersebut.

Cadangan itu mencetuskan reaksi balas tegas daripada dunia Arab dan rakyat Palestin yang menyifatkannya sebagai usaha mengulangi peristiwa Nakba, pengusiran besar-besaran semasa penubuhan Israel pada 1948.

Mesyuarat itu menyaksikan perbincangan serius mengenai pelan induk yang dirangka oleh pertubuhan diketuai Weiss bagi membina semula kehadiran Yahudi secara kekal di Gaza.

Pelan terperinci itu merangkumi pembinaan perumahan untuk 1.2 juta penduduk Yahudi, serta pembangunan zon industri, pertanian dan kompleks pelancongan di kawasan pesisir Gaza.

Lapan penempatan haram rejim yang terletak di pelbagai bahagian di Gaza dibongkar pada 2005, sebagai sebahagian daripada keputusan unilateral Israel untuk ‘berpisah’ dari Gaza, berikutan keganasan bertahun-tahun antara pendatang Yahudi, pejuang Palestin dan tentera Israel.

Namun, sejak dua dekad lalu, segelintir rakyat Israel yang lantang terus mendesak agar Gaza dijajah semula.

Penganalisis memberi amaran pelan berkenaan bakal mencetuskan ketegangan yang lebih serius serta mengabaikan hak penduduk asal Palestin yang kini berdepan krisis kemanusiaan terbesar.

Kempen ketenteraan Israel sejak konflik tercetus pada Oktober 2023, meragut lebih 59,000 nyawa rakyat Palestin, dengan kebanyakannya orang awam.

Malah, krisis kemanusiaan di Gaza mencapai tahap bencana selepas 21 bulan konflik dan sekatan bantuan selama dua bulan dikenakan oleh Israel.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN