TEL AVIV: Sebuah lagi parti ultra-Ortodoks bertindak keluar dari pakatan pemerintah pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu susulan kegagalannya meluluskan rang undang-undang yang mengecualikan golongan Haredi daripada perkhidmatan tentera wajib.
Menurut akhbar Yedioth Ahronoth, parti Agudat Yisrael yang memiliki tiga kerusi dalam Knesset mengumumkan pengunduran mereka dari gabungan pemerintah sebagai protes terhadap isu tersebut.
Langkah itu menyusul selepas parti ultra-Ortodoks lain, Degel HaTorah turut meninggalkan pakatan tersebut pada Isnin lalu.
Kedua-dua parti ini membentuk blok United Torah Judaism (UTJ) yang menyumbang tujuh kerusi dalam gabungan pemerintah Netanyahu yang kini mempunyai 68 daripada 120 kerusi di Knesset.
Gabungan Netanyahu memerlukan sekurang-kurangnya 61 kerusi untuk mengekalkan kuasa dan pengunduran dua parti tersebut menjejaskan kestabilan pemerintahannya.
Isu pengecualian perkhidmatan tentera untuk lelaki Haredi menjadi tuntutan utama parti-parti ultra-Ortodoks sejak sekian lama, namun ia kini semakin mendapat tentangan hebat daripada parti-parti lain dalam kerajaan serta masyarakat awam yang mahukan kesamarataan dalam tanggungjawab ketenteraan.
Saluran berita Israel, Channel 12 melaporkan, parti Shas iaitu satu lagi parti ultra-Ortodoks yang mempunyai 11 kerusi turut dijangka menarik diri daripada pakatan pemerintah atas sebab yang sama.
Jika Shas melaksanakan keputusan tersebut, kerajaan Netanyahu yang ditubuhkan pada Disember 2022 dijangka akan tumbang, sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya awal.
Penyiar awam Israel, KAN menyatakan pakatan pemerintah kini berdepan kebuntuan kritikal berhubung isu pengambilan rekrut Haredi selepas parti-parti ultra-Ortodoks dikatakan mengemukakan beberapa tuntutan utama termasuk pembatalan ribuan perintah wajib tentera dan pembiayaan institusi serantau.
Golongan Haredi yang merangkumi kira-kira 13 peratus daripada 10 juta penduduk Israel menentang perkhidmatan tentera atas alasan agama dan penyertaan dalam masyarakat sekular boleh mengancam identiti serta perpaduan komuniti mereka.










