BALI: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) mengeluarkan amaran cuaca mengenai kemungkinan berlakunya ombak besar setinggi enam meter di sekitar perairan Pulau Bali bermula hari ini hingga Jumaat.
Menurut Pusat Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Wilayah Bali, yang merupakan unit pelaksana teknikal BMKG di rantau tersebut, ombak besar dijangka melanda hampir semua kawasan perairan di sekeliling Bali.
Kawasan pantai selatan pulau itu dijangka mengalami gelombang tertinggi, iaitu sehingga enam meter, berdasarkan laporan media tempatan.
Selain daripada amaran ombak tinggi, BMKG turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan peningkatan kelajuan angin di kawasan tersebut.
Keadaan ini boleh menyebabkan laut bergelora dan memberi risiko serius kepada aktiviti pelayaran serta keselamatan maritim.
Orang awam, terutamanya nelayan dan pengusaha pelancongan laut, dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan berhati-hati dan mengikuti maklumat terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa cuaca.
Pihak berkuasa tempatan juga digesa untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kemalangan laut dan memastikan keselamatan penduduk serta pelancong di kawasan terjejas.-AGENSI










