NEW YORK: Negara-negara Arab termasuk Qatar, Arab Saudi dan Mesir menyertai gesaan antarabangsa agar Hamas meletakkan senjata serta menamatkan pemerintahannya di Gaza, sebagai langkah mengakhiri perang yang berlarutan di wilayah itu.
Gesaan itu terkandung dalam deklarasi tujuh muka surat yang dipersetujui oleh 17 negara, Kesatuan Eropah (EU) serta Liga Arab pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai usaha menghidupkan semula penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.
“Dalam konteks menamatkan perang di Gaza, Hamas mesti menamatkan pemerintahannya dan menyerahkan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA), dengan penglibatan dan sokongan antarabangsa selaras matlamat untuk sebuah negara Palestin yang berdaulat serta merdeka,” menurut deklarasi itu.
Kenyataan tersebut dibuat susulan gesaan delegasi Palestin di PBB pada Isnin, agar kedua-dua Israel dan Hamas keluar dari Gaza bagi membolehkan PA mentadbir wilayah pantai berkenaan.
Teks itu turut mengecam serangan maut Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, langkah yang masih belum dilakukan oleh Perhimpunan Agung PBB.
Perancis, yang mempengerusikan bersama persidangan itu dengan Arab Saudi, menyifatkan deklarasi tersebut sebagai ‘bersejarah dan tidak pernah berlaku sebelum ini’.
Teks deklarasi yang turut ditandatangani oleh Perancis, Britain, Kanada dan beberapa negara Barat lain itu juga menyeru kemungkinan penempatan pasukan asing bagi menstabilkan Gaza selepas tamat pertempuran.
Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS), tidak mengambil bahagian dalam mesyuarat tersebut.
Dokumen itu dikeluarkan pada hari kedua persidangan di New York, di mana Britain mengumumkan pertimbangan untuk mengiktiraf Palestin pada September ini.
Setiausaha Luar Britain, David Lammy berkata, London akan meneruskan pengiktirafan tersebut sekiranya Israel gagal memenuhi beberapa syarat, termasuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan mencukupi disalurkan ke wilayah itu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada minggu lalu memaklumkan akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung PBB pada September.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam mesyuarat pada Isnin berkata, penyelesaian dua negara kini semakin jauh daripada jangkauan berbanding sebelumnya.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan kelmarin, 15 negara Barat termasuk Perancis dan Sepanyol menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap visi penyelesaian dua negara.
Bagaimanapun, hanya sembilan negara penandatangan deklarasi itu yang masih belum mengiktiraf Palestin, namun menyatakan kesediaan positif untuk mempertimbangkannya.
Ia melibatkan Andorra, Australia, Kanada, Finland, Luxemborg, Malta, New Zealand, Portugal dan San Marino.- AFP










