NEW DELHI: Polis India menahan seorang lelaki yang disyaki menjalankan operasi kedutaan palsu dari sebuah rumah kediaman yang disewa berhampiran ibu negara dan merampas beberapa buah kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran diplomatik palsu.
Suspek, Harshvardhan Jain, 47, didakwa menyamar sebagai seorang duta dan menipu orang ramai dengan menawarkan peluang pekerjaan di luar negara sebagai helah untuk memperdaya mereka bagi mendapatkan wang, menurut pegawai kanan Pasukan Petugas Khas Negeri Uttar Pradesh, Sushil Ghule.
Menurut siasatan awal, Jain mendakwa dirinya sebagai penasihat atau duta kepada entiti yang tidak diiktiraf seperti “Seborga” dan “Westarctica”.
Polis turut menemui beberapa gambar yang telah disunting memaparkan Jain bersama pemimpin-pemimpin dunia serta cop-cop palsu milik Kementerian Luar Negeri India dan hampir tiga dozen negara lain, kata Ghule.
Tambah beliau, Jain juga disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram melalui beberapa syarikat ‘shell’ di luar negara.
Suspek kini berdepan pertuduhan memalsukan dokumen, penyamaran dan memiliki dokumen palsu.
Selain itu, empat buah kereta yang menggunakan nombor pendaftaran diplomatik palsu turut dirampas bersama wang tunai sebanyak 4.5 juta rupee India (RM270,000) serta beberapa mata wang asing lain daripada premis sewaan suspek yang turut dihiasi dengan bendera pelbagai negara.
Setakat ini, Jain atau peguamnya masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan tersebut. -AGENSI










