ISLAMABAD: Jumlah kematian akibat hujan lebat monsun yang melanda Pakistan terus meningkat dengan sekurang-kurangnya 63 orang terkorban dalam tempoh 24 jam di wilayah Punjab, menjadikan angka korban seluruh negara sejak akhir Jun kepada 170 orang.
Pegawai wilayah berkata, hujan lebat menyebabkan banjir dan bangunan runtuh dengan kebanyakan kematian berpunca daripada dihempap bumbung rumah yang tidak kukuh.
Di Lahore, ibu negeri wilayah timur Punjab, 15 kematian dilaporkan, sembilan di Faisalabad manakala beberapa lagi mangsa terkorban di kawasan pertanian seperti Okara, Sahiwal dan Pakpattan.
Pasukan penyelamat menggunakan bot untuk memindahkan keluarga dari kampung-kampung berhampiran tebing sungai di bahagian selatan pada awal pagi, namun paras air dilaporkan mulai surut menjelang petang.
“Kanak-kanak menjerit meminta tolong, dan wanita berdiri di atas bumbung rumah, melambai-lambai selendang mereka sambil merayu diselamatkan,” kata Tariq Mehbood Bhatti, seorang petani berusia 51 tahun dari kampung Ladian.
Penduduk di kawasan rendah berhampiran Sungai Nullah Lai yang mengalir melalui bandar Rawalpindi bersebelahan ibu kota Islamabad, sudah diarahkan berpindah selepas paras air meningkat secara mendadak.
“Pasukan penyelamat bersedia untuk pemindahan seterusnya,” kata jurucakap agensi pengurusan bencana.
Pihak berkuasa Rawalpindi turut mengisytiharkan cuti umum pada Khamis bagi menggalakkan orang ramai tinggal di rumah demi keselamatan.
Menurut pegawai tempatan, hujan lebat turut menyebabkan beberapa empangan kecil pecah akibat tekanan air dan pihak tentera kini menggunakan helikopter untuk menyelamatkan penduduk yang terkepung oleh air banjir.
“Pakistan telah mengalami banjir dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Musim monsun kali ini tidak terkecuali,” kata jurucakap kerajaan, Hyder.










