SUWAYDA: Pasukan tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas bandar Suwayda di selatan Syria, hanya beberapa jam selepas kerajaan Syria mengumumkan gencatan senjata di bandar majoriti komuniti Druze itu.
Kementerian Dalam Negeri Syria dalam satu kenyataan berkata, kumpulan bersenjata menyambung semula serangan terhadap pasukan kerajaan dengan sokongan daripada tentera udara Israel.
Pihak berkuasa Syria mengutuk campur tangan Israel itu sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Dalam masa sama, tokoh agama Druze yang berpengaruh, Sheikh Hikmat al-Hajri, turut mengeluarkan kenyataan menuduh pihak tentera kerajaan Syria sebagai pihak yang terlebih dahulu melanggar gencatan senjata yang diumumkan awal pagi kelmarin.
Serangan udara oleh Israel itu dilancarkan selepas Sheikh Hikmat menyeru para pejuang tempatan agar mempertahankan diri daripada apa yang beliau sifatkan sebagai ‘serangan ganas’ oleh tentera kerajaan.
Israel pula mendakwa serangan mereka di wilayah selatan Syria yang bersempadan dengan Kawasan jajahannya adalah bertujuan untuk melindungi komuniti Druze, yang dianggap sebagai sekutu berpotensi dalam konteks geopolitik serantau.
Menurut laporan Pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di United Kingdom (UK), lebih 200 orang terbunuh sejak pertempuran bermula pada Ahad lalu.
Situasi ini menambahkan lagi ketegangan di wilayah yang sudah pun bergolak, dan membangkitkan kebimbangan antarabangsa mengenai campur tangan asing dalam konflik dalaman Syria.
Syria mengecam tindakan Israel dan menyatakan serangan itu telah mengorbankan anggota tentera serta orang awam.
Komuniti minoriti Druze yang berfahaman Syiah, kekal curiga terhadap kerajaan pimpinan Ahmed al-Sharaa walaupun beliau berjanji melindungi semua golongan minoriti.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa pihaknya komited untuk melindungi masyarakat Druze di Syria kerana hubungan rapat mereka dengan komuniti itu di sekitar sempadan dan Dataran Tinggi Golan yang diduduki.-AGENSI










