WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan Jabatan Kehakiman harus mendedahkan semua maklumat yang boleh dipercayai daripada siasatan berhubung penjenayah seksual terkenal, Jeffrey Epstein dalam usaha meredakan kritikan yang semakin memuncak daripada penyokong setianya sendiri.
Trump kini berdepan perpecahan paling serius dalam karier politiknya daripada kelompok konservatif tegar yang selama ini setia, berikutan dakwaan pentadbirannya sedang menutup maklumat berkaitan jenayah Epstein bagi melindungi tokoh kaya dan berpengaruh yang didakwa turut terlibat dalam kes itu.
“Peguam Negara sudah menangani perkara ini dengan baik,” kata Trump merujuk Ketua Jabatan Kehakiman, Pam Bondi ketika ditanya media mengenai isu tersebut di Rumah Putih.
Trump turut mengulangi dakwaan fail Epstein sengaja ‘direka’ oleh pentadbiran Demokrat sebelum ini meskipun beliau sendiri semasa kempen pilihan raya beberapa kali menyatakan mungkin akan mendedahkan dokumen tersebut.
“Bondi telah mengendalikannya dengan baik, dan ia terserah kepada beliau. Apa-apa maklumat yang beliau rasa boleh dipercayai, beliau patut mendedahkannya,” ujar Trump.
Kenyataan ini menandakan perubahan nada daripada Presiden, yang sebelum ini meluahkan rasa kecewa terhadap keghairahan penyokongnya berhubung isu Epstein, malah merayu agar mereka berhenti membangkitkannya.
“Saya tak faham kenapa kes Jeffrey Epstein ini menarik minat sesiapa pun. Ia perkara yang membosankan,” kata Trump kepada wartawan pada malam Selasa.
Gerakan Make America Great Again (MAGA) yang diasaskan Trump selama ini percaya elit Deep State sedang melindungi rakan-rakan Epstein yang berkuasa dalam Parti Demokrat dan Hollywood.
Trump berdepan kemarahan yang semakin memuncak sejak pentadbirannya secara rasmi menolak teori-teori konspirasi berkaitan Epstein, yang selama ini menjadi obsesi dalam kalangan penyokong tegar MAGA.
Dalam satu memo yang disiarkan awal bulan ini, Jabatan Kehakiman dan FBI menyatakan tiada bukti Epstein menyimpan ‘senarai pelanggan’ atau memeras ugut tokoh berpengaruh.
Mereka juga menegaskan Epstein mati akibat bunuh diri dan tidak akan mendedahkan sebarang maklumat lanjut berkenaan siasatan itu.
Penafian rasmi itu merupakan kali pertama pegawai kanan Trump menolak secara terbuka teori-teori yang selama ini turut disokong oleh beberapa tokoh kanan FBI sebelum mereka dilantik oleh Trump sendiri.
Isu ini juga mencetuskan ketegangan dalam pentadbiran Trump, termasuk pertelagahan antara Bondi dan Timbalan Pengarah FBI, Dan Bongino, yang dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan.
Percubaan Trump untuk meredakan keadaan setakat ini gagal, apabila pengaruh sayap kanan terus menyerangnya di media sosial.
Malah menantunya sendiri, Lara Trump yang juga hos Fox News, turut menyeru lebih banyak ketelusan daripada pihak pentadbiran.
Sekutu paling kuat Trump di Kongres, Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson, turut menyuarakan gesaan agar lebih banyak maklumat didedahkan kepada umum.
Dalam satu wawancara dengan personaliti internet MAGA, Benny Johnson turut senada dalam isu ini.
“Kita patut dedahkan segalanya dan biarkan rakyat menilai. Peguam Negara perlu tampil dan jelaskan segala kekeliruan,” katanya.
Bondi sebelum ini memberitahu Fox News pada Februari senarai pelanggan Epstein berada di mejanya untuk semakan, namun kemudian menarik balik kenyataan itu dan berkata senarai tersebut tidak wujud.
Epstein meninggal dunia akibat bunuh diri di penjara New York pada tahun 2019 selepas didakwa atas kesalahan pemerdagangan seks.
Trump yang menafikan pernah mengunjungi rumah Epstein di Kepulauan Virgin AS, di mana aktiviti pemerdagangan seks bawah umur didakwa berlaku sebelum ini berkata, beliau tidak ada masalah untuk mendedahkan fail berkaitan kes itu.
Apabila ditanya sama ada Bondi memaklumkan kepadanya jika namanya terdapat dalam mana-mana fail Epstein, Trump menjawab ‘tidak’, dan menambah Bondi hanya memberikan taklimat yang sangat ringkas.-AFP










