BRUSSELS: Beberapa negara utama Kesatuan Eropah (EU) termasuk Perancis, Itali, dan Sepanyol dilaporkan terus mengeluarkan sejumlah besar visa pelancong kepada warganegara Russia, walaupun sekatan terhadap Moscow masih berkuat kuasa.
Pengeluaran visa itu juga tidak menjadi penghalang di tengah-tengah kebimbangan keselamatan dari negara-negara anggota timur yang semakin meningkat ekoran perang Russia di Ukraine.
Menurut data oleh EUobserver, lebih 552,000 visa Schengen telah dikeluarkan untuk rakyat Russia pada 2024, menunjukkan peningkatan sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya.
Itali mengeluarkan lebih 152,000 visa, meningkat kira-kira 20,000 berbanding 2023 manakala Perancis dan Sepanyol turut kekal antara destinasi utama bagi pelancong Russia.
Sebaliknya, negara-negara seperti Finland, Estonia, Latvia, Lithuania, Poland, Republik Czech dan Norway mengetatkan atau menghentikan sepenuhnya pengeluaran visa pelancong kepada warga Russia.
Negara-negara EU yang bersempadan dengan Russia seperti Poland dan negara-negara Baltik memberi amaran pelancongan boleh disalahgunakan untuk kegiatan pengintipan.
Menteri Luar Republik Czech, Jan Lipavský mengingatkan perkhidmatan keselamatan Russia mempunyai sejarah menggunakan aliran pelancong sebagai sebahagian daripada taktik peperangan hibrid mereka.
Walaupun dikritik, Perancis mempertahankan pendiriannya dengan alasan menjaga hubungan antara rakyatnya.
“Kami cuba memisahkan kerajaan Russia daripada rakyat dan masyarakat sivil negara itu,” kata Kementerian Luar Perancis.
Penganalisis pertahanan Britain, Emily Ferris turut menyokong pandangan itu, menegaskan adalah tidak adil untuk menghukum rakyat awam Russia atas keputusan pemimpin mereka.-AGENSI









