GAZA: Ketika kematian rakyat Palestin terus meningkat akibat serangan udara dan kebuluran, seramai 28 menteri luar dari pelbagai negara tampil menggesa penamatan segera perang di Gaza.
Gesaan menerusi kenyataan bersama itu dikeluarkan berbulan-bulan selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai pertubuhan kemanusiaan memberi amaran mengenai kebuluran yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.
Negara yang menandatangani kenyataan tersebut termasuk Australia, Austria, Belgium, Kanada, Cyprus, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Greece, Iceland, Ireland, Itali, Jepun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, New Zealand, Norway, Poland, Portugal, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan United Kingdom (UK).
Bagaimanapun, tindakan nyata di medan diplomatik dan ekonomi masih dilihat amat terhad.
Sebahagian daripada negara ini mengiktiraf negara Palestin, termasuk Perancis yang baru-baru ini mencetuskan kemarahan Israel apabila mengumumkan bahawa ia akan berbuat demikian secara rasmi pada September ini.
Namun, ramai pemerhati mengkritik kenyataan tersebut sebagai bersifat simbolik atau retorik semata-mata, memandangkan kebanyakan negara itu masih mengekalkan hubungan perdagangan aktif dengan Israel.
Malah, mereka juga gagal mengambil langkah tegas seperti mengenakan sekatan atau menghentikan kerjasama ekonomi yang boleh memberi tekanan ke atas rejim Zionis untuk menghentikan perang genosid di Gaza.
PERDAGANGAN DENGAN ISRAEL
Belgium, Perancis, Ireland, Itali, Jepun, Belanda, Poland, Sepanyol, Switzerland dan UK masing-masing mempunyai lebih daripada AS$1 bilion (RM4.23 bilion) dalam bentuk import, eksport atau kedua-duanya dengan Israel, menurut angka Observatory of Economic Complexity bagi tahun 2023.
Antara barangan utama yang diperdagangkan negara-negara penandatangan dan Israel termasuk kereta serta kenderaan bermotor lain, litar bersepadu, vaksin dan minyak wangi.
Litar bersepadu bernilai kira-kira AS$3.58 bilion (RM15 bilion) merupakan produk individu terbesar yang dihantar ke Ireland, mewakili sebahagian besar import negara itu dari Israel.
Sementara itu, Itali merupakan negara yang paling banyak mengeksport ke Israel dalam kalangan penandatangan kenyataan tersebut.
Pada 2023, jumlah eksport Itali ke Israel mencecah AS$3.49 bilion (RM14.7 bilion), termasuk AS$116 juta (RM491.7 juta) dalam bentuk kereta.
Daripada negara-negara yang menandatangani kenyataan itu, Ireland dan Sepanyol mengiktiraf Palestin pada 2024 dan lantang menentang tindakan Israel di Gaza.
Namun begitu, pengiktirafan tersebut tidak menghalang mereka daripada meneruskan hubungan perdagangan dengan negara haram itu.
Tujuh negara lain yang turut menandatangani kenyataan tersebut juga mengiktiraf Palestin, termasuk Cyprus, Malta dan Poland yang berbuat demikian seawal tahun 1988, tidak lama selepas Pengisytiharan Kemerdekaan Palestin.
Iceland pula mengiktiraf Palestin pada 2011, diikuti Sweden pada 2014, manakala Norway dan Slovenia menyusul pada tahun 2024.
TEKANAN ANTARABANGSA
Perancis, Jerman dan UK menyeru kepada gencatan senjata segera di Gaza serta pembebasan tanpa syarat semua tebusan selepas mengadakan panggilan kecemasan bagi membincangkan perang serta krisis kebuluran yang tercetus akibat sekatan Israel.
Perhatian antarabangsa kini tertumpu kepada isu kebuluran rakyat Palestin di Gaza, sehingga mendorong penyokong kuat Israel seperti bekas calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton, turut bersuara mengenai krisis itu.
Tekanan antarabangsa mendorong Israel mengumumkan ‘jeda taktikal’ atas alasan kemanusiaan dari pukul 10 pagi hingga 8 malam di kawasan Al-Mawasi, Deir al-Balah dan Bandar Gaza, yang bermula pada Ahad lalu.
Walaupun jead diumumkan, tentera Israel tetap membunuh sekurang-kurangnya 43 rakyat Palestin pada awal pagi Ahad.
Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza turut melaporkan enam lagi kematian dalam tempoh 24 jam akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, termasuk dua kanak-kanak.
Ini menjadikan jumlah kematian akibat kebuluran meningkat kepada 133 orang, termasuk 87 kanak-kanak.- AGENSI










