AS, kuasa Eropah beri tempoh hingga akhir Ogos tetapkan rundingan nuklear Iran

AS, kuasa Eropah beri tempoh hingga akhir Ogos tetapkan rundingan nuklear Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bersama tiga kuasa besar Eropah bersetuju menetapkan penghujung Ogos ini sebagai tarikh akhir bagi mencapai kata sepakat dalam rundingan perjanjian nuklear dengan Iran.

Laporan portal Axios yang memetik tiga sumber berkata, persetujuan itu dicapai menerusi satu panggilan telefon yang berlangsung semalam antara Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dengan menteri luar Perancis, Jerman dan Britain.

Menurut laporan itu lagi, sekiranya tiada perjanjian dicapai menjelang tarikh akhir tersebut, tiga negara Eropah berkenaan merancang untuk mengaktifkan mekanisme ‘snapback’ yang akan menyebabkan semua sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran diaktifkan semula secara automatik.

Ia termasuk sekatan perdagangan senjata, kewangan dan eksport minyak.

Tindakan tersebut bakal menyaksikan Iran berdepan tekanan antarabangsa yang lebih hebat sekiranya rundingan yang berlarutan sejak sekian lama itu gagal mencapai penyelesaian.

Iran bagaimanapun menolak tindakan tersebut dan mendakwa sekatan itu tiada asas undang-undang serta memberi amaran akan menarik diri daripada Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT) sekiranya sekatan antarabangsa diaktifkan semula.

Sebelum ini, sekatan tersebut digugurkan ketika perjanjian nuklear Iran 2015 atau lebih dikenali sebagai Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) ditandatangani bersama AS dan negara barat.

Namun pada tahun 2018, Presiden AS, Donald Trump memilih keluar daripada perjanjian tersebut dan mengenakan sekatan ekonomi ketat terhadap Iran. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN