LONDON: Penyelidik sedang membangunkan aplikasi baharu yang akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memberi amaran kepada petani mengenai penyakit kulat yang boleh merosakkan tanaman kentang.
Saintis dari Wales berkata, aplikasi itu akan membolehkan petani mengesan penyakit hawar lewat menggunakan telefon mereka sebelum gejala dapat dilihat dengan mata kasar.
Menurut pasukan penyelidik dari Universiti Aberystwyth, penyakit itu bertanggungjawab terhadap 20 peratus kerugian hasil tanaman kentang dan menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak 3.5 bilion pound (RM19.9 bilion) di seluruh dunia.
Katanya, diagnosis awal akan meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos untuk petani, termasuk kebergantungan terhadap racun perosak yang membahayakan alam sekitar.
Projek DeepDetect akan menggunakan pembelajaran mesin untuk memberikan diagnosis penyakit yang tepat dan khusus mengikut lokasi kepada petani melalui telefon pintar mereka.
“Dengan mengintegrasikan maklum balas daripada petani sejak awal, kami akan memastikan teknologi ini selaras dengan keperluan dan cabaran dunia sebenar,” kata pensyarah sains komputer Universiti Aberystwyth, Edore Akpokodje.
Beliau turut berkata, teknologi tersebut berpotensi untuk digunakan secara meluas terhadap tanaman lain.
Projek itu bertujuan mengurangkan beban kewangan dan kesan alam sekitar akibat semburan pencegahan, yang menurut penyelidik menelan kos sehingga 5.27 juta pound (RM30 juta) setahun kepada petani di Wales.
Penyelidik merancang untuk menghasilkan prototaip dikuasakan AI menggunakan set data imej daun kentang yang sihat dan berpenyakit.
Model itu akan terus ditambah baik dan penyelidik berharap dapat membangunkan sistem amaran awal hawar kentang serta meluaskan penggunaannya kepada tanaman lain pada masa hadapan.
“Kentang merupakan tanaman ruji keempat terpenting dunia, dan pengeluaran optimum amat penting untuk populasi global yang semakin meningkat,” kata penyelidik, Aiswarya Girija.- BBC











