LOS ANGELES: Perarakan ketenteraan yang berlangsung aman dan penuh kawalan serta dihadiri puluhan ribu orang di sini bertukar kecoh apabila pasukan polis tiba-tiba bertindak agresif terhadap para pengunjung.
Pihak berkuasa memaklumkan tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan orang ramai daripada terlibat dengan demonstrasi ganas memandangkan kumpulan penunjuk perasaan bersedia untuk melakukan perhimpunan secara aman.
Polis mengarahkan orang ramai supaya beredar segera daripada kawasan perarakan sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengunjung.
Bagi memastikan arahan mereka dipatuhi, pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan sebelum perintah berkurung berkuatkuasa pada pukul 8 malam waktu tempatan.
Seorang jurucakap polis memberitahu saluran televisyen tempatan, KTLA, terdapat segelintir penunjuk perasaan mula membaling batu, botol dan mercun ke arah polis.
“Jika mereka enggan beredar, kami akan buat tangkapan, kami sudah lama bersabar,” katanya.
Situasi tegang masih mencengkam Los Angeles susulan serbuan agresif pasukan pihak berkuasa terhadap golongan pendatang di bandar raya itu.
Kebanyakan protes yang dilakukan berlangsung secara aman sehingga pasukan polis masuk campur dan mula menggunakan kekerasan.
Perarakan ketenteraan sempena sambutan ulang tahun Presiden Donald Trump yang ke-79 tahun itu berlangsung meriah dengan pelbagai hiasan menarik diletakkan di kawasan sekitar.
Penunjuk perasaan yang membantah pentadbiran Trump turut menyertainya dengan membawa sejumlah papan sepanduk yang tertulis ‘Gugurkan Trump!’ dan ‘Malu!’.









