Monash IVF mohon maaf silap pindah embrio 

Monash IVF mohon maaf silap pindah embrio 

MONASH IVF mendedahkan insiden kesilapan kedua berkaitan pemindahan embrio dalam tempoh dua bulan.-AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Sebuah pusat kesuburan terkemuka Australia, Monash IVF menerima kecaman selepas mendedahkan satu lagi insiden kesilapan kedua berkaitan pemindahan embrio yang hanya beberapa bulan selepas kejadian serupa dilaporkan dua bulan lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Monash IVF mengesahkan kejadian terbaharu berlaku di makmal milik mereka di Clayton dan perkara itu sudah dilaporkan kepada badan pengawal selia serta syarikat insurans.

“Kami memohon maaf kepada pasangan yang terjejas dan sedang menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh.

“Langkah tambahan akan diperkenalkan termasuk proses pengesahan berganda serta penglibatan aktif pesakit dalam pengesahan maklumat kritikal bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” kata pusat itu.

Pada April lalu, pusat itu mengakui seorang wanita Australia melahirkan bayi milik pasangan lain akibat kesilapan dilakukan seorang doktornya ketika proses memindahkan embrio.

Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan meluas terhadap tahap keselamatan dan pemantauan dalam industri persenyawaan in vitro (IVF) di Australia, yang selama ini banyak bergantung kepada sistem kawal selia sendiri.

Ekoran insiden itu, saham Monash IVF dilaporkan merosot sekitar 31 peratus.

Insiden berprofil tinggi tersebut juga mendorong gesaan kepada penambahbaikan sistem audit dan kawal selia klinik kesuburan di negara itu bagi memastikan keselamatan dan keyakinan pesakit sentiasa terpelihara. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN