BAITULMUQADDIS: Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee memaklumkan sebuah bangunan milik kedutaan AS di Tel Aviv mengalami kerosakan kecil akibat letupan peluru berpandu Iran yang jatuh berhampiran, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan kakitangannya.
Iran melancarkan serangan peluru berpandu besar-besaran ke atas beberapa bandar Israel awal pagi Isnin sebagai tindak balas terhadap bedilan Israel ke atas sasaran ketenteraan di wilayahnya.
Kedua-dua pihak kini saling memberi amaran akan melakukan serangan balas yang lebih dahsyat.
Imej yang dirakam AFP menunjukkan beberapa bangunan musnah di bandar pesisir Tel Aviv selepas tentera Israel mengeluarkan amaran agar orang awam segera berlindung daripada serangan peluru berpandu yang sedang melanda.
“Terdapat kerosakan kecil akibat gelombang letupan peluru berpandu Iran berhampiran Cawangan Kedutaan di Tel Aviv, namun tiada kecederaan melibatkan kakitangan AS,” kata Huckabee di platform X.
Beliau turut memaklumkan, kedutaan AS di Baitulmuqaddis kekal ditutup pada Isnin berikutan arahan berlindung di lokasi masing-masing yang masih berkuat kuasa.
Serangan Israel ke atas Iran minggu lalu mencetuskan pertempuran paling sengit antara kedua-dua negara dalam sejarah hubungan tegang mereka, sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap konflik berpanjangan yang boleh merebak ke seluruh Asia Barat.
Israel mendakwa menyerang kemudahan ketenteraan dan nuklear Iran, membunuh beberapa komander kanan dan saintis atom negara itu.
Namun seorang pegawai kanan AS pada Ahad berkata, Presiden, Donald Trump sudah menasihati Israel supaya tidak meneruskan rancangan membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Trump sebelum ini menyeru kedua-dua pihak untuk mencapai perjanjian damai, namun turut menyatakan kepada wartawan kadangkala mereka perlu bertempur dahulu sebelum ia berlaku.-AFP










