MOSCOW: Pihak berkuasa Russia mematahkan serangan dron berskala besar oleh Ukraine pada lewat malam semalam dan awal pagi ini yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua lapangan terbang utama di Moscow terpaksa menghentikan sementara operasi penerbangan.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan di Telegram, sebanyak 112 dron Ukraine dimusnahkan dan dipintas di enam wilayah berbeza dalam tempoh tiga jam sehingga tengah malam.
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin turut memaklumkan melalui Telegram, sebanyak 12 dron yang menuju ke ibu kota Russia berjaya ditembak jatuh.
Kementerian Pertahanan berkata, sebanyak 59 dron menyasarkan wilayah Bryansk di barat daya Russia manakala selebihnya dilancarkan ke wilayah Kursk, Belgorod, Tula, Oryol dan Kaluga.
Serangan ini berlaku selepas Ukraine mendakwa menerima serangan dron paling intensif oleh Russia selama tiga hari berturut-turut sejak permulaan konflik ketenteraan oleh Moscow pada 2022.
Walaupun tentera Russia hampir setiap hari mengumumkan pencerobohan dron dari Ukraine, serangan skala sebesar dalam masa yang singkat jarang berlaku.
Moscow yang terletak beberapa ratus kilometer dari sempadan juga jarang menjadi sasaran serangan besar seperti ini.
Bagaimanapun, pihak berkuasa kebelakangan ini sering kali terpaksa mengalihkan penerbangan dari lapangan terbang utama Moscow berikutan ancaman dron.
Kali ini, Agensi Pengangkutan Penerbangan Persekutuan Russia mengesahkan sekatan operasi dilaksanakan di Lapangan Terbang Vnukovo dan Zhukovsky di Moscow.
Ukraine sebelum ini mendakwa lebih 900 dron dilancarkan oleh Russia dalam tempoh tiga hari sehingga 26 Mei.
Pada 25 Mei sahaja, 13 orang awam termasuk tiga kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam serangan tersebut.
Sebagai tindak balas, Kementerian Pertahanan Russia memaklumkan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas sasaran awam di Ukraine sebagai tindak balas terhadap provokasi oleh pihak Ukraine. –AFP










