SYDNEY: Senator berhijab pertama Australia, Fatima Payman, membuat aduan kepada badan pemantau Parlimen selepas rakan sekerja lelaki didakwa mengajaknya minum arak dan menari di atas meja.
Payman berkata, ahli Parlimen lebih berusia itu turut mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar ketika sedang mabuk dalam sebuah majlis rasmi.
“Dia berkata, mari kami beri awak minum wain dan lihat kamu menari di atas meja.
“Saya terus memberitahu beliau untuk menjaga batas, sebelum mengambil keputusan untuk mengemukakan aduan rasmi,” katanya kepada penyiar nasional, ABC.
Bagaimanapun, tarikh sebenar kejadian serta identiti ahli Parlimen terbabit tidak didedahkan.
Fatima yang dilahirkan di Afghanistan mencipta sejarah sebagai senator pertama yang bertudung dalam Parlimen Australia.
Insiden tersebut mencetuskan semula perbincangan mengenai budaya toksik di institusi legislatif negara itu.
Sebelum ini, bekas pembantu politik, Brittany Higgins pada 2021 mendakwa dirogol oleh rakan sekerja dalam pejabat Parlimen, yang mencetuskan protes di seluruh negara.
Satu laporan kemudian mendapati Parlimen Australia dipenuhi dengan budaya minum arak secara berlebihan, buli dan gangguan seksual.
Fatima, yang kini menjadi Senator Bebas, meninggalkan kerajaan berhaluan kiri Parti Buruh pada 2024 selepas menuduh parti itu gagal membela nasib rakyat Palestin di Gaza.- AFP










