PARIS: Kerajaan Perancis bakal membina sebuah penjara berprofil tinggi bernilai 337 juta pound (RM2 bilion) yang digelar penjara ‘super-max’ gaya Amerika, terletak jauh di tengah-tengah hutan hujan Amazon, khusus untuk menempatkan ketua kartel dadah dan pengganas paling berbahaya.
Penjara baharu seluas 40,700 meter persegi itu akan dibina di Saint Laurent du Maroni, wilayah Guiana Perancis di Amerika Selatan, menurut Menteri Kehakiman, Gérald Darmanin semalam, ketika beliau mengadakan lawatan rasmi ke rantau berkenaan.
Pembinaan penjara tersebut sebagai langkah drastik susulan kebimbangan semakin memuncak terhadap gejala yang digelar sebagai ‘Mexicanisasi’ Perancis merujuk kepada peningkatan keganasan kumpulan dadah yang mirip situasi di Mexico.
Menurut Darmanin, tiada kompromi akan diberikan terhadap penghuni penjara berkenaan.
“Rejim penjara ini akan amat ketat, dengan matlamat utama iaitu memastikan pengedar dadah paling berbahaya tidak lagi boleh merosakkan masyarakat,” tegas beliau kepada media tempatan.
Penjara Saint Laurent du Maroni dijangka mampu menempatkan sehingga 500 tahanan, termasuk sayap keselamatan tinggi yang dikhaskan untuk ketua kartel dadah dan militan Islamis yang disifatkan sebagai terlalu berisiko untuk dicampurkan dalam populasi banduan umum.
Kementerian Kehakiman turut memaklumkan sebanyak 15 tempat akan diperuntukkan secara khusus untuk pengganas yang telah disabitkan kesalahan serta dijangka beroperasi pada tahun 2028.
Katanya, kemudahan baharu itu akan menghalang sebarang bentuk komunikasi antara ketua sindiket dengan rangkaian mereka di luar penjara.
Langkah ini hadir selepas serangan bersenjata dan pembakaran yang diselaraskan oleh kumpulan dadah ke atas tujuh buah penjara pada Februari lalu, sebagai tindak balas terhadap tindakan keras kerajaan terhadap pengedaran dadah.
Penjara yang terjejas termasuk di Toulon, Aix-En-Provence, Marseille, Valence dan Nîmes di selatan Perancis, serta di Villepinte dan Nanterre berhampiran Paris.
Sebagai langkah tambahan, beberapa inisiatif sedang diperkenalkan termasuk pembinaan penjara keselamatan tinggi khas untuk memutuskan hubungan ketua sindiket dengan rangkaian mereka di luar.










