MADRID: Parlimen Sepanyol meluluskan usul untuk mempertimbangkan larangan perdagangan senjata dengan Israel, selaras dengan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat agar rejim itu menghentikan sekatan makanan dan tindakan ketenteraan di Gaza.
Usul berkenaan yang dibentangkan oleh gabungan parti sayap kiri Sumar sebahagian daripada parti pemerintah dengan sokongan parti pembangkang seperti Podemos dan Republican Left of Catalonia (ERC), diluluskan dengan 176 undi menyokong berbanding 171 menolak, lapor akhbar El País.
Langkah itu menyusul selepas Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, menggesa penggantungan penyertaan Israel dalam acara kebudayaan antarabangsa seperti Eurovision, merujuk kepada tindakan kejam rejim itu di Gaza.
Ahli-ahli Parlimen yang menyokong usul berkenaan berdiri dan bertepuk tangan sebagai tanda sokongan terhadap cadangan yang antara lain menggesa kerajaan Sepanyol menghentikan eksport sebarang bahan yang berpotensi mengukuhkan kekuatan tentera Israel.
Ia termasuk topi keledar, jaket kalis peluru dan bahan api yang boleh digunakan dalam operasi ketenteraan.
Usul itu turut mencadangkan agar undang-undang perdagangan luar Sepanyol dipinda bagi melarang sebarang perjanjian ketenteraan dengan mana-mana negara yang didakwa terlibat dalam jenayah genosid atau jenayah terhadap kemanusiaan dengan merujuk secara langsung kepada serangan ketenteraan Israel di Gaza.
Ketua Parti Podemos, Ione Belarra, pula menggesa Kabinet Sepanyol supaya mengadakan mesyuarat tergempar dalam minggu ini bagi mengeluarkan dekri rasmi yang melarang penjualan senjata kepada Israel.
“Rakyat Palestin tidak boleh menunggu lebih lama. Netanyahu sedang membunuh, mengebom, menyeksa dan menyekat rawatan perubatan mereka. Apa yang berlaku kini merupakan proses pembersihan etnik paling besar dalam abad ke-21,” katanya sambil menyifatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai Hitler zaman moden.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles ketika menghadiri mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU) di Brussels menegaskan, Sepanyol tidak lagi menjalinkan sebarang urusan pembelian senjata dari Israel sejak tercetusnya perang di Gaza pada 7 Oktober 2023.
“Kita tidak membeli senjata dari Israel dan perkara ini perlu dijelaskan. Sejak 7 Oktober, tiada satu pun senjata dibeli dari Israel. Apa yang dibeli hanyalah kelengkapan perlindungan seperti topi keledar dan jaket kalis peluru untuk pasukan keselamatan Sepanyol,” ujarnya. -AGENSI











