Negara Eropah, UK ‘jarakkan’ hubungan dengan Israel

 Negara Eropah, UK ‘jarakkan’ hubungan dengan Israel

SEORANG warga emas Palestin menolak basikal melalui runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Bandar Gaza, kelmarin.- AFP SEORANG warga emas Palestin menolak basikal melalui runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Bandar Gaza, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) mengambil langkah tegas menyekat dan mengkaji semula dasar mereka dengan Israel susulan sekatan bantuan makanan dan operasi ketenteraan meluas rejim itu di Gaza.

UK menggantung rundingan perdagangan dengan Israel dan mengenakan sekatan terhadap peneroka di Tebing Barat.

Diplomat tertinggi Britain mengecam operasi Israel di Gaza sebagai ‘tidak wajar secara moral’ dan sama sekali tidak seimbang.

Sementara itu, EU mengumumkan akan mengkaji semula hubungannya dengan Israel, dengan ketua dasar luarnya menggelar situasi di Gaza sebagai ‘malapetaka’.

Parlimen Sepanyol pada Selasa turut meluluskan usul tidak mengikat yang menggesa kerajaan mengenakan sekatan senjata ke atas Israel.

Langkah tersebut dibuat sehari selepas UK, Perancis dan Kanada mengancam untuk mengambil tindakan konkrit, termasuk sekatan yang disasarkan, jika Israel tidak menghentikan serangan terbaharu serta terus menyekat akses bantuan ke Gaza.

Bagaimanapun, tentera Israel pada Selasa tetap berikrar untuk meluaskan operasi di wilayah tersebut.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyifatkan situasi kemanusiaan di Gaza sebagai ‘tidak boleh diterima’, sambil menegaskan bantuan perlu disalur ke wilayah itu dengan segera.

Sejak 5 Mei, Israel melancarkan serangan baharu di Gaza, dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengumumkan rancangan untuk menawan seluruh wilayah pada Isnin lalu.

Ratusan terbunuh dan sekatan Israel menyebabkan tiada akses bantuan ke Gaza selama 11 minggu sehingga Isnin lepas, apabila hanya lima berbanding 500 trak sebelum ini yang dibenarkan memasuki wilayah itu.

“Situasi semasa yang menyaksikan pengeboman, termasuk terhadap kanak-kanak, serta risiko kebuluran yang sedang berlaku sangat tidak boleh diterima.

“Kita sedang menyelaraskan dengan sekutu kami mengenai perkara ini,” kata Starmer.

GANTUNG RUNDINGAN PERDAGANGAN

Bercakap kepada ahli Parlimen kelmarin, Setiausaha Luar Britain, David Lammy menegaskan, UK menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri susulan serangan 7 Oktober 2023, namun konflik semasa kini ‘memasuki fasa baharu yang suram’.

“Selama 11 minggu, pasukan Israel menyekat Gaza, menyebabkan Program Makanan Sedunia (WFP) kehabisan semua bekalan yang ada.

“Kita kini memasuki fasa baharu yang suram. Pentadbiran Netanyahu merancang untuk mengusir penduduk Gaza dari kediaman mereka ke satu sudut di selatan wilayah dan hanya membenarkan sebahagian kecil bantuan,” katanya.

Duta Israel ke UK, Tzipura Hotovely dipanggil oleh Pejabat Luar Negeri Britain berhubung serangan rejim di Gaza, keganasan peneroka dan peluasan penempatan haram di Tebing Barat, menurut satu kenyataan daripada pejabat itu.

“Kelulusan penempatan semakin dipercepatkan, manakala keganasan peneroka meningkat dengan mendadak.

“Kami akan terus bertindak terhadap mereka yang melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang keji,” kata Lammy sambil mengumumkan sekatan terhadap tiga individu dan empat entiti yang terlibat dalam gerakan penerokaan haram.

Kementerian Luar Israel menyifatkan sekatan terhadap peneroka haram tersebut sebagai mengelirukan, tidak wajar dan amat dikesali.

“Tekanan luar tidak akan mengalihkan tumpuan Israel daripada laluan perjuangannya mempertahankan kewujudan dan keselamatan daripada musuh yang mahu melihat kehancuran.

“Jika disebabkan ketaksuban anti-Israel dan pertimbangan politik dalaman, kerajaan Britain sanggup memudaratkan ekonomi sendiri, itu adalah keputusan mereka,” kata kementerian berhubung tindakan UK menggantung rundingan perdagangan.

KAJI PERJANJIAN KERJASAMA

Tidak lama selepas pengumuman UK, Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas mengumumkan blok tersebut akan mengkaji semula perjanjian kerjasama dengan Israel berikutan sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Perjanjian Persatuan EU-Israel merangkumi pelbagai bentuk kerjasama antara kedua-dua pihak, termasuk dialog politik, pergerakan bebas barangan dan kerjasama saintifik.

Artikel dua dokumen itu menggariskan hubungan antara pihak-pihak hendaklah berdasarkan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan prinsip demokrasi.

Kallas berkata, majoriti kuat anggota EU mengundi menyokong kajian semula artikel dua dalam perjanjian dengan Israel.

“Oleh itu, kami akan melancarkan proses ini. Sementara itu, terpulang kepada Israel untuk membuka sekatan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Israel turut mengecam kenyataan Kallas, sambil menyifatkan langkah itu sebagai salah faham terhadap realiti kompleks yang dihadapi rejim itu.

Kementerian Luar Israel turut menuduh EU mengabaikan inisiatif yang disokong Amerika Syarikat (AS) untuk menyalurkan bantuan ke Gaza tanpa sampai ke Hamas serta keputusan Israel membenarkan kemasukan sebahagian bantuan ke wilayah tersebut.

“Kami menggesa EU supaya memberi tekanan kepada pihak yang sepatutnya, iaitu Hamas,” menurut kenyataan kementerian di platform X.

Sementara itu, Parlimen Sepanyol meluluskan usul yang menggesa kerajaan mengharamkan eksport sebarang bahan yang boleh menguatkan tentera Israel, termasuk topi keledar, jaket kalis peluru dan bahan api yang berpotensi digunakan untuk operasi di Gaza.

Usul, yang diluluskan dengan 176 menyokong dan 171 menentang, turut mencadangkan supaya undang-undang perdagangan luar Sepanyol dipinda bagi melarang perjanjian ketenteraan dengan mana-mana pihak dituduh melakukan genosid atau jenayah kemanusiaan.

Jurucakap pakatan berhaluan kiri Sumar, Veronica Martinez berkata, Sepanyol tidak boleh bekerjasama dengan negara yang melakukan pembunuhan beramai-ramai atau jenayah perang, sambil menegaskan industri senjata Israel tidak boleh disokong dalam keadaan semasa di Gaza.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN