WASHINGTON: Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat (AS) semalam menyekat serta-merta hampir keseluruhan tarif import yang dilaksanakan pentadbiran Presiden Donald Trump.
Mahkamah menyatakan pemimpin AS itu sudah melangkaui bidang kuasa yang ditetapkan.
Keputusan itu memberi tamparan kepada Trump yang sebelum ini mengancam hubungan diplomatik dengan seluruh dunia sekiranya tiada kerajaan yang bersetuju dengan tarif dilaksanakan.
Perang perdagangan yang dilancarkan Trump mencetuskan ketidakstabilan dalam pasaran saham dunia, malah memberi kesan terhadap ekonomi negara ini.
Panel tiga hakim di mahkamah tersebut mengeluarkan arahan supaya gencatan tarif dilaksanakan serta-merta, sekali gus menyekat semua perancangan yang dilakukan Trump sebelum ini.
Rumah Putih menyelar keputusan itu dengan menyatakan tiga panel hakim berkenaan tidak mempunyai hak untuk menarik balik tindakan Trump.
“Presiden Trump berikrar mahu mengembalikan semula kuasa rakyat AS dan pentadbirannya komited menggunakan semua peringkat kuasa yang ada untuk menangani krisis berlaku serta mengembalikan kehebatan Amerika,” kata jurucakap Trump, Kush Desai.
Namun, kenyataan itu tidak menyebut sebarang tindakan undang-undang walaupun banyak syarikat perniagaan memaklumkan pentadbiran Trump sudah pun mengemukakan tuntutan undang-undang.
Seorang daripada penasihat rapat Trump di Rumah Putih, Stephen Miller berkata, keputusan mahkamah tersebut disifatkan sebagai ‘luar kawalan’.
Trump sebelum ini mendedahkan pelaksanaan tarif perdagangan besar-besaran pada 2 April lalu dengan kadar asas sebanyak 10 peratus, sekali gus memberi kesan terhadap kuasa ekonomi dunia seperti China dan Kesatuan Eropah (EU).
Pasaran saham dunia menjadi tidak menentu selepas Trump menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari, selain menggantung rundingan dengan beberapa negara.
LANGGAR UNDANG-UDANG
Panel tiga hakim di mahkamah tersebut menyatakan tarif yang dikenakan atas nama ‘Hari Pembebasan’ melanggar kuasa perdagangan termaktub di bawah Kongres dan tidak disokong oleh Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA).
“Mahkamah tidak menilai kebijaksanaan atau keberkesanan penggunaan tarif oleh Presiden sebagai ‘leverage’.
“Penggunaan tersebut tidak dibenarkan bukan kerana ia tidak bijak atau tidak berkesan, tetapi kerana undang-undang Persekutuan tidak membenarkannya,” kata mereka.
Keputusan ini adalah hasil daripada tindakan undang-undang yang difailkan oleh beberapa syarikat kecil dan 13 negeri AS yang mendakwa tarif itu menjejaskan perniagaan mereka.
Syarikat-syarikat tersebut, termasuk pengimport minuman keras dari New York serta pengeluar kit pendidikan dan alat muzik dari Virginia.
ANCAMAN LUAR BIASA
IEEPA memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan sekatan ekonomi yang diperlukan semasa kecemasan bagi memerangi ‘ancaman luar biasa’ yang boleh menjejaskan struktur negara.
Trump sebelum ini menyatakan defisit perdagangan dan ancaman yang ditimbulkan akibat kemasukan dadah dalam skala besar ke AS mewajarkan tarif meluas dikenakan.
TEMPOH 10 HARI
Keputusan mahkamah itu menyaksikan pentadbiran Trump mempunyai masa selama 10 hari untuk menyelesaikan birokrasi menghentikan tarif.
Dalam pada itu, Jabatan Kehakiman mempertahankan strategi perdagangan Trump di mahkamah dengan menekankan pihak kehakiman mempunyai bidang kuasa terhad, selain mencetuskan kritikan terhadap Rumah Putih yang kononnya cuba merampas kuasa cabang kerajaan lain.
Trump sebelum ini berulang kali menegaskan rakyat negara ini akan mendapat faedah daripada konsep ‘America First’.
Beberapa langkah drastik oleh pentadbiran Trump kini seperti ‘makan tuan’ apabila negara EU tidak mahu lagi mengalah dengan tekanan yang dilakukan bahkan mereka semakin berani mengambil langkah sewajarnya.










