Kerja lebih 52 jam seminggu jejas fungsi otak

Kerja lebih 52 jam seminggu jejas fungsi otak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Bekerja lebih 52 jam seminggu boleh menjejaskan fungsi ingatan, keupayaan menyelesaikan masalah dan kestabilan emosi individu.

Kajian diterbitkan dalam jurnal Occupational and Environmental Medicine mendedahkan, individu yang bekerja secara berlebihan menunjukkan perubahan ketara pada struktur otak, khususnya di bahagian berkait fungsi kognitif dan kawalan emosi.

Kajian tersebut melibatkan 110 pekerja kesihatan, dengan 32 individu bekerja sekurang-kurangnya 52 jam seminggu, manakala 78 lagi mengikut waktu kerja biasa.

Kumpulan penyelidik termasuk dari Universiti Yonsei di Korea Selatan berkata, individu yang bekerja berlebihan menunjukkan perubahan ketara dalam kawasan otak berkaitan dengan fungsi eksekutif dan kawalan emosi.

Bahagian otak mempunyai peranan utama dalam pelbagai fungsi kognitif, terutama di lobus hadapan, yang penting dalam perhatian, ingatan kerja dan pemprosesan berkaitan bahasa.

Turut terjejas ialah kawasan otak lain yang berkait dengan perancangan, membuat keputusan, pemprosesan emosi, kesedaran diri dan kefahaman terhadap konteks sosial.

Menurut penyelidik, penemuan itu memberikan bukti awal bekerja secara berlebihan boleh dikaitkan dengan perubahan struktur otak yang mungkin membawa kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental dan fungsi kongnitif individu.

“Kajian ini memperkukuh bukti saintifik yang menunjukkan bahawa kerja berlebihan perlu ditangani sebagai isu utama dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” kata penyelidik.

Sementara itu, Ketua Polisi dan Hal Ehwal Awam di badan kebajikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (IOSH) di United Kingdom, Ruth Wilkinson berkata, analisis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebelum ini, menunjukkan budaya kerja berlebihan semakin meningkat dan menjadi penyumbang kepada satu pertiga beban penyakit berkaitan pekerjaan.

“Budaya bekerja lebih masa boleh berlaku dalam bentuk ‘perjanjian halus’ yang tidak dinyatakan secara rasmi dalam kontrak pekerjaan seperti perlu sentiasa bersedia atau menjawab mesej kerja di luar waktu pejabat,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN